Saturday, December 12, 2015

FARHAN OH FARHAN



I.   Ya, saya tau Farhan, melalui akaun twitter, telah beri penjelasan tentang tajuk berita yang misleading itu. Dia kata bukan ‘cenderung menolak BN’, tapi pensyarah yang 'memanipulasi dasar kerajaan'.
Tapi si Farhan ini perlu faham dan reti. Provokasi utama ucapan itu bukan pada ayat sama ada: ‘menolak BN’ atau ‘memanipulasi dasar’. Itu tak relevan sangat pun. Masalah terbesar timbul bila dia bangkitkan usul ‘pemantauan pensyarah’. Lebih-lebih lagi pada konteks dan situasi di mana ucapan itu disampaikan, iaitu sebuah perhimpunan parti politik. Mari saya bagitau kenapa premis fundamental Farhan itu adalah satu khilaf yang berat.

II.   Pertama, kau ini siapa pandai-pandai mau ‘mengarah’ supaya pensyarah dipantau? Sebagai anak murid, mempersoalkan integriti guru secara terbuka satu dunia begini, sangat bertentangan dengan nilai kesopanan dan kesusilaan. Ia menyalahi prinsip paling asas dalam adab dan sahsiah seorang insan yang mahu berguru.
Dalam realiti sebenar kampus, pelajar lebih banyak menimbulkan isu dari pensyarah. Jadi kalau kau benar-benar prihatin dengan kesucian universiti sebagai medan ilmu sejati, usul pemantauan itu perlu bermula dengan pelajar. Lagipun domain pelajar itulah kapasiti kepimpinan dan ruang perjuangan kau yang sebenar. Kenapa pula mau rampas kuasa Naib Canselor untuk mengurus staf di bawahnya? Duh.
Selaku pemimpin hijau yang baru mau up, sila hayati wisdom Melayu tentang konsep pembelajaran: merangkak, berdiri, bertatih dan barulah berlari. Ini kuah pun belum ada, sudu kau sudah terjulur-julur keluar dari mangkuk.

III.  Kedua, cara ‘memanipulasi dasar’ itu diayatkan jelas prejudis kepada pensyarah pro pembangkang. Hakikatnya, isu ‘manipulasi dasar’ di universiti (yang lazim dibuat menerusi rencah poilitiking) boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Ia merentas kedua-dua tembok politik, sama ada pro pembangkang atau pro penguasa.
Pensyarah yang fanatik kera-bangkang suka menghasut dan mengindoktrinasikan fahaman peribadi ke dalam dunia akademik yang sepatutnya berciri bebas nilai. Yang obses kera-jaan pula gemar salahguna hubungan politik dengan pihak autoriti tertentu untuk mencampuri urustadbir hingga meritokrasi universiti hanya tinggal fantasi. Gaya manipulasi oleh kedua-dua kera ekstrim ini tidak sihat untuk budaya kesarjanaan universiti. Jadi, (kalau perlu sangatlah) usul pemantauan harus dikemukakan secara adil, dengan berfokus kepada semua bentuk manipulasi yang ada. Don’t cherry-pick based on your own twisted sentiments and preferences.

IV.  Ketiga dan yang terpenting, ini dari aspek strategi politik. Parti terbesar Malaysia ini sedang berdepan dengan krisis kritikal, melibatkan kepimpinan atasan dan kepercayaan akar umbi. Perhimpunan penting seperti ini sepatutnya diguna untuk buat refleksi, mencanai masalah dan mencari penyelesaian secara berhikmah. Caranya? Fokuskan kepada usaha memperbaiki sistem dalaman parti, bukan sibuk mencari kesilapan-kesilapan entiti eksternal. Agenda perdana parti ini sekarang patut bukan untuk mencari rabak kain orang lain, tetapi untuk menjahit baju sendiri yang makin tercarik!
Ini tidak. Bahtera kau sendiri sedang terjungkir-balik, bukan saja kerana gelombang besar di luar. Tetapi juga kerana nakhoda, kelasi dan penumpang saling berantakan. Dalam situasi begini pun, kau masih ada banyak masa untuk bercakap tentang burung camar yang sesekali tahinya jatuh di pelantar. Dan paling hairan, kau masih boleh bazirkan tenaga untuk memantau burung-burung camar ini supaya berak di tempat yang betul? Hish.

V.  Farhan, tujuan kau dibawa ke persidangan sebesar ini adalah untuk memberi suntikan yang segar dari perspektif orang muda, khususnya mewakili suara mahasiswa. Yang merupakan tenaga dan minda beliawan yang paling berkuasa pada masa hadapan.
Sebagai generasi pewaris, kau memegang kunci untuk yakinkan semua pihak bahawa bahtera yang terumbang-ambing itu rela mengakui kelemahan yang ada, serta bersedia membuat transformasi kendiri. Itulah sentimen yang patut kau adunkan dalam ucapan. Bukan membawa retorik lama yang masih sarat dengan 'nada golongan tua’ (kepimpinan autokrasi gaya pantau memantau!); sekaligus menambah kebencian dan amarah sedia ada kepada level lebih tinggi.

VI.  Saya ingin tahu kursus apa yang diambil oleh Farhan di universiti. Sebab nampaknya kursus itu gagal menerapkan kemahiran insaniah pada pelajarnya, dari segi mencipta nilai hikmah dan kemahiran orator yang membujuk. Ini salah satu domain pembelajaran penting yang perlu ada dalam semua program pengajian prasiswazah. Kalau tidak, kurikulum itu tak boleh lulus MQA.
Atau mungkin juga kursus itu memang ok sebenarnya. Cuma si Farhan sendiri yang agak _______ (sila isi sendiri) dalam mencerap elemen-elemen pembelajaran yang ada. Hmm, kalau begini, susahlah mau ditolong.

Artikel asalnya tu di sini...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...