Tuesday, April 21, 2015

MAU BERAGAMA TAPI ENGGAN BERTUHAN



1. Salah satu punca tegar konflik kerohanian, bila manusia terlebih ghairah mahu beragama, tetapi enggan bertuhan (Rem Dambul, 2014 dalam 'Deja Vu Cinta'). Begitu ramai yang taksub mahu masuk syurga dengan cara mudah dan ekspres. Sampai sanggup berjihad membutatuli, berjuang atas apa saja landasan asal ada tersisip elemen "agama". Meski pun sisipan itu cuma sekecil kutu babi dihiris sembilan puluh tiga.
Mungkin mereka tidak tahu bahawa Tuhan sebenarnya mewujudkan kasih-sayang terlebih dulu, sebelum mencipta agama. Sebab itu kita disaran melafazkan berulang-ulang: Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


2. Saya lahir dan besar di Ranau; dalam komuniti yang toleransinya pada hal-hal perbezaan agama terolah secara organik. Memang daerah itu kurang majmuk dari segi etnik. Majoritinya Dusun, dan ada sekumpulan masyarakat Cina di kawasan urban. Tapi komuniti ini agak plural dari segi agama: Islam, Kristian (pelbagai aliran) dan Taoism.

Kalau memanjat ke bumbung masjid jamek Ranau, boleh nampak tokong terbesar di daerah ini. Yang terletak hanya lebihkurang 200 meter. Di sebelah tokong pula ada sebuah gereja kecil (saya kurang pasti dari mazhab mana). Maksudnya, dalam lingkungan kurang dari 250 meter, terseragam megah tiga buah rumah ibadat daripada tiga agama berbeza. Saling berjiran dengan intim, tanpa sebarang konflik dan ketegangan.

Situasi ini mungkin tipikal hampir di seluruh Sabah. Kerana masyarakat di sini sudah teradun sebati dengan konsep pluralisme, baik dari segi etnik mahupun agama. Keluarga saya sendiri sangat rencam. Ada ahli yang berkahwin dengan Suluk, Cina, Bugis, Melayu (dari Semenanjung) dan pelbagai sub-suku Kadazandusun bukan Islam. Di sebelah keluarga maternal, ibu saya adalah satu-satunya penganut Islam. Semua adik-beradik yang lain (pakcik dan makcik saya) beragama Kristian. Tapi ikatan kekeluargaan kami tidak pernah renggang.



3. Tiap kali menulis tentang hal begini, mesti ada yang mencebik: "Orang-orang Islam Kadazandusun (KD) ini memang liberal sakan. Sebab itu selalu jadi apologis kepada agama lain." Bila dilabel liberal, maksudnya komuniti Islam KD ini (kononnya) jenis tidak ambil pusing sangat pasal agama. Terutama yang 'mualaf' macam keluarga kami. Saya tidak tau di mana orang-orang ini dapat ajaran sesat begitu. Prejudis rambang suka-suka hati sendiri.

Masa sekolah rendah, saya belajar dua sidang dari darjah satu sampai enam. Sidang pagi di SRK (sekolah rendah kebangsaan); dan sidang petang di SUI (sekolah ugama Islam). Sebelum umur 12 tahun, saya sudah fasih baca Quran. Masa bersekolah di Kedah dulu (yang 95% pelajarnya adalah Melayu); saya jadi pelajar terbaik Bahasa Arab dan Top 5 semasa ujian tajwid.

Jangan salah faham. Ini bukan cubaan mahu tunjukkan betapa tinggi dan mendalam penghayatan saya pada agama. Bukan! Tapi itulah rutin asuhan yang lazim bagi komuniti Dusun Islam. Bukan unik untuk keluarga saya saja. Poin utama: sekadar satu ilustrasi bahawa kami orang-orang Kadazandusun Islam pun ada kesedaran dan usaha mendekati agama. Sikap toleransi kami bukan datang dari kejahilan tentang hal-ehwal hukum.

4. Islam bukan soal fekah dan tauhid semata-mata. Islam juga merangkumi akhlak dan ihsan. Ok, saya tidak diberi mandat menjaga pintu syurga. Tapi saya tidak fikir Tuhan menyediakan nikmat firdausi untuk penganut yang hanya taksub memelihara segala rukun beragama. Namun meremehkan konteks 'hablum minannas' (hubungan sesama manusia). Islam didatangkan untuk rahmat dan kesejahteraan seluruh generasi manusia. Sama ada mereka seagama atau tidak dengan kita.

Saya tau, ada yang akan berhujah. Isunya bukan sekadar salib, tapi justifikasi pembinaan gereja yang tidak wajar. Penganut cuma sejemput di sesuatu kawasan, tapi mahu rumah ibadatnya ada di sana sini. Serius: kalau mereka fikir ada keperluan (dan diluluskan pembinaan oleh pihak berkuasa), kenapa perlu dijadikan isu lagi? Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami. Pesan Tuhan masih tak cukup?

Kita tidak pernah bising pun bila kedai kopi dibuka banyak-banyak di serata tempat. Padahal lebih ramai umat Islam yang imannya lebur di kedai kopi; bukan berkecai kerana salib gereja atau patung kuil. Tidak percaya? Cuba buat survei, berapa ramai yang meruntuhkan tiang agama (baca: abaikan solat) kerana leka bergampang di restoren Mamak, siang dan malam. Ada sesiapa mau berdemonstrasi bawa sepanduk minta semua kedai Mamak ditutup?

5. Kerana mempertahankan semangat kompromi yang sama, saya juga suatu ketika dulu telah mengkritik lantang komuniti Kristian Penampang yang membantah pembinaan masjid di kawasan mereka. I seriously can't comprehend the logic: why 'rumah ibadat' can offend anyone. Barangkali inilah natijah bila manusia cuma kenal agama, tapi tak kenal Tuhan.

Ini bukan khutbah versi agamawan. Saya tidak tahu, dan tidak mahu bercakap rinci tentang hukum ahkam dan persoalan aqidah. Kalau mahu hal begitu, pergilah berguru dengan ustaz-ustaz yang berilmu.

Tapi sebagai penganut yang pernah berada di luar Islam, saya cuma ingin berkongsi perspektif alternatif. Tentang bagaimana sepatutnya akhlak Islam ini dipandang dari luar. Jangan pula kita jadi punca yang akan menghodohkan sesuatu yang fitrahnya indah. 




Notakaki:

Misa Maz While I dont agree with the way the Tmn Medan church issue is being protested I do think that a church inside a building zoned as shoplot is probably not a good idea. Then again I am the type that hate to see a linked house in a residential area being operated as restaurant (everything in its place and a place for everything...yes, I know I am anal like that) not because I dont like the owners. I just resent what I see as a misused of resources and an accident waiting to happen. Where I am residing, a house of worship in a commercial area is a definite no-no. Build a church by all means but do observe proper zoning laws and choose a better location, location, location.

Rem Dambul Misa Maz, I agree that your point is legitimate. But we probably have to agree to disagree. 

1. Kristian di Malaysia ada banyak cabang. Each one has its own different religious ritual. Disebabkan Malaysia mengangkat Islam sebagai agama rasmi, perunt
ukan untuk keagamaan selain Islam adalah sangat terhad (which is normal, sebab di UK pun tiada peruntukan untuk syiar agama selain agama yang diangkat sebagai teraju negaranya). Building a church on its own land does need more resources. And in many cases, the local Christian communities can't probably afford it - because they normally have to establish it without the financial support from the government.

2. Konsep menjadikan rumah kedai atau sebahagian bangunan kediaman sebagai rumah ibadat adalah perkara common di Malaysia. Surau pun ada banyak dalam premis begini. It is not a "misused of resources" as long as it gets the permission from the authority. If it is allowed by the Pihak Berkuasa Tempatan, then it is basically legal. So the notion of "misuse" is misleading.



1 comment:

  1. Saya suka penulisan anda. Will share this on facebook. Sekarang sangat hubungan muslim/non muslim sgt tegang back in my hometown. And its hurtful seeing them post nasty things about each other's religion/race. I hope we're given enough patience to help them understand that we can co-exist. Keep it up. I am expecting to read more good posts from you. Assalamualaikum.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...