1. Selama hampir tiga minggu di sini, 85% masa saya sebenarnya akan habis di Jeddah. Menjalankan kerja-kerja rasmi di King Abdulaziz University.
Saya mungkin sesekali boleh lari sekejap ke Mekah (terutama waktu malam), yang tidak sampai 45 minit cara pemanduan tak berhemah orang gasar. Tapi Madinah agak jauh ke utara, mengambil masa lebih 4 jam sehala. Not so sure if I can find enough time to visit there, during this trip.
Dua hari pertama di sini; saya lebih banyak berhibernasi di bilik. Merawat jet lag dan membiasakan diri dengan hawa dingin winter. Yang datang dari sirkulasi angin sejuk Eropah melewati wilayah Mediteranean. Kadang-kadang juga, ketika musim anomali – sirkulasi itu buang tabiat sikit dan mengheret angin artik yang merentas turun dari Siberia. Angin ini jauh lebih sejuk dan boleh membawa salji tebal ke sesetengah tempat di tanah Arab.
2. Kelmarin (Ahad), hari pertama saya di opis. Tugasnya jadi panel pemerhati untuk pembentangan viva seorang pelajar sarjana. Kajiannya menarik, iaitu tentang “heat wave during the summer in 2010”. Dia mengkaji petanda-petanda sinoptik yang mempengaruhi insiden ini di Arab Saudi.
Bila signal iklim itu sudah dikenalpasti, maka ramalan jangkapanjang lebih senang dibuat bagi membolehkn amaran diisytihar lebih awal. Saya kata menarik sebab “heat wave” (gelombang haba) juga sedang jadi topik hangat di Malaysia ketika ini. Amaran rasmi oleh Jabatan Metereologi sudah pun dikeluarkan.
Untuk mudahkan pemahaman layman, “heat wave” ini maksudnya kepanasan melampau akibat berlaku musim kemarau. Oleh kerana sebahagian besar komposisi badan manusia adalah air, maka bahangan seperti ini akan mengganggu fungsi fisiologi tubuh secara signifikan. Ia boleh mengakibatkan serangan ‘strok haba’, dehidrasi dan beberapa isu kesihatan yang lain. Ini adalah ‘pembunuh senyap’ (khususnya orang tua dan kanak-kanak) yang hanya disedari di Malaysia dalam satu dekad kebelakangan ini.
3. Hipotesisnya juga, 80% kematian jemaah umrah dan haji Malaysia barangkali boleh dikaitkan dengan isu “heat wave”. Ia tidak semestinya bertindak sebagai faktor tunggal; tetapi ia jadi “trigger” (pencetus) yang penting kepada pelbagai masalah lain yang akhirnya membawa kepada kematian.
Sebab itu saya galakkan protégé klimatologis saya, Nik Norlizaini, untuk buat kajian PhD tentang hubungan “heat wave” dan impak kesihatan kepada jemaah umrah/haji Malaysia. Saya harap Official : Lembaga Tabung Haji akan beri sokongan dari segi data dan logistik, sebab isu ini sangat kritikal. Dan impak faktor ini cirinya unik dan tidak sama pada kumpulan jemaah yang berbeza, bergantung kepada iklim asal negara masing-masing.
Dalam empat sesi haji akan datang (2015 – 2019), ibadah rukun Islam ini akan jatuh pada musim panas. Jadi amatlah penting untuk kita memahami secara rinci bagaimana faktor haba ini mempengaruhi status kesihatan jemaah Malaysia – dari segi gender, umur dan pelbagai variabel lain. Kita juga perlu kenali dengan tepat “suhu ambang” yang mencetuskan masalah agar langkah-langkah tebatan boleh dirancang. Serta agihan sumber dan dana boleh diuruskan dengan lebih strategik.
4. Ok, berbalik kepada viva pelajar sarjana tadi. Saya agak terkejut bila calon tersebut mengumumkan ada jamuan yang dia sendiri sediakan pada akhir pembentangan. Seriously? This would never happen in Malaysia!
Bayangkan begini. Kau datang viva, belum tentu lulus atau tidak: tapi kau begitu gigih sediakan parti untuk meraikannya. Kind of premature celebration, no? Tapi mujurlah dalam kes ini, calon tadi lulus gemilang.
Saya cuba berimaginasi liar. Kalaulah gagal, apa jadi dengan makanan ekstravaganza itu? Tak kan mau makan juga bersama lelehan air mata. Mungkin perlu dijamu pada kucing-kucing jalanan yang sedang meriah bergelandangan di luar bangunan.
Fuh. Sama ada mamat itu konfiden gila, atau ini memang tradisi viva orang Arab. Tapi kalau ada pelajar saya cuba-cuba buat begitu masa viva, saya akan libas dengan ekor pari berkali-kali sampai dia sedar dirinya siapa.
Nota: Gambar atas itu menunjukkan Talal di tengah-tengah, pelajar pascasiswazah yang baru viva. Di kiri adalah supervisor (Prof. Mansour), bersama dua examiner: Prof. Nazrul (Bangladesh) dan Prof. Heshmet (Mesir). Yang paling kanan itu namanya Rem, penyibuk tegar dari Borneo.
Opurno Ryhan, look who I had just shared with, a big plate of chicken mandy for lunch? It is your big bro, Arfan Ali! |
No comments:
Post a Comment