Siaran ulangan #MariBersama PM, dari sudut lensa yang lebih rapi. Terima kasih Serina Sue Ibrahim.
Ini bukan pertemuan politik. Tiada cerita langsung tentang siapa pahlawan, siapa petualang dalam medan siasah Malaysia. Ini cuma satu perkongsian kecil tentang bagaimana membina mimpi besar bagi sebuah negara yang masih belum sempurna. Usaha mencari titik persamaan, bukan bersanggah kerana jurang perbezaan.
Setiap pelayaran hanya boleh diterajui oleh seorang nahkoda. Suka atau tidak, ketika bahtera sedang melawan badai di tengah samudera, semua anak kapal dan penumpang harus patuh pada satu arahan. Jika tidak, kapal akan terumbang-ambing dan mungkin karam di laut bergelora.
Setiap kali kapal singgah berlabuh di limbungan (barangkali lima purnama sekali) – kita diberi hak untuk mengekalkan nakhoda lama atau memilih yang baharu. Gunakan kesempatan ini untuk mencipta perubahan (kalau mahu), bukan bersengketa ketika dalam pelayaran.
Pelayaran ini adalah matlamat kita bersama. Nahkoda hanyalah alat. Jangan kerana terlalu taksub berperang tentang alat, kita kehilangan matlamat. Akhirnya kapal impian cuma terapung-apung tanpa destinasi.
:
Ini cuma 'siaran ulangan'. Saya masih tersadai di tengah gurun pasir. |
No comments:
Post a Comment