Sunday, January 11, 2015

MOMOGUNSIA



1)  Bagi membolehkan komuniti berbilang kepercayaan hidup harmoni; setiap orang mesti menghayati sedalam-dalamnya ajaran agama sendiri. Itu langkah pra-syarat yang mesti, sebelum gerak seterusnya boleh diolah. Iaitu memahami pula agama orang lain serta menghargai perbezaan-perbezaan yang ada. Barulah rasa saling hormat timbul dengan penuh kesedaran, tanpa dipaksa-paksa.

Pendekatan yang sama juga relevan dalam konteks memupuk hubungan harmoni kelompok pelbagai etnik. Usaha pertama haruslah bermula dengan memugar kefahaman mendalam terhadap citra etnik sendiri. Sebab itulah kunci terpenting untuk menempatkan diri secara harmoni dalam masyarakat yang majmuk.

Sedar atau tidak, perbalahan kaum sebenarnya banyak dicetuskan oleh kedangkalan manusia memahami sosio-budaya bangsanya sendiri. Bila tiada kefahaman yang teguh pada jati diri etnik, manusia akan rasa begitu mudah terancam. Serta cepat bertindakbalas secara negatif kepada provokasi-provokasi dari sekeliling. Ibarat seseorang yang berada dalam kamar gelap dan tidak memahami situasi sekitarnya sendiri; tentulah lebih mudah melatah. Campak selendang pun, mungkin disangka ular tedung.


2)   
Momogunsia sebenarnya sudah berumur hampir 5 tahun. Kumpulan penulis pribumi Kadazandusun-Murut (KDM) ini cuba membawa gagasan persuratan dengan menerapkan roh lokal Sabah. Kesusasteraan dijadikan medium untuk memahami secara mendasar citra etnik yang rencam dan kaya. Visi jangkapanjang Momogunsia? Mahu menyumbang kepada usaha-usaha merapatkan jurang komuniti majmuk menerusi karya-karya kreatif.

Kelmarin kami berhimpun di Rumah Pangi. Ahli-ahli Momogunsia dari pelbagai sub-suku KDM (termasuk: Bundu, Kimaragang, Liwan, Lotud, Tagal, Rungus, Tanggara) berbincang dalam suasana santai dan kasual tentang usaha-usaha penataran sastera etnik. Saling menawarkan idea tentang bagaimana mahu memugar citra tempatan dalam karya-karya persuratan. Mimpi kami: (kalau boleh) mahu mencecah arena kebangsaan dan antarabangsa; tidak hanya terhad di ceruk-ceruk sendiri.

Nota: Semua revolusi besar dan inovasi penting dunia bermula dari mimpi, ok!

Kalau bukan ahli komuniti suku tersebut, siapa lagi yang boleh diharap mengarusperdanakan citra etniknya? Jika tidak memahami sosio-budaya bangsa sendiri, bagaimana boleh memahamkan orang lain? Juga, kalau tiada siapa mahu menggalas amanah ini: bagaimana nanti komuniti berbilang latarbelakang dapat sama-sama menghargai perbezaan serta mencari titik persamaan yang mengikat?


3)  Hari ini, acara kami di Rumah Pangi masih lagi pasal etnik. Tapi kali ini, tradisi kulinari dan budaya gastronomi pula.

Orang Sabah bertuah sebenarnya. Sebab di merata tempat ada pesta tamu mingguan. Ini tempat terbaik mencari bahan-bahan makanan yang bukan saja murah, tetapi cukup sihat. Kerana kebanyakan adalah produk-produk organik. Jadi, jangan hanya gigih merungut tentang harga barang-barang yang makin naik; lakukan juga sesuatu untuk menebatnya.

Ini bukan tugas kerajaan dan pihak autoriti semata-mata. Kita juga kena mainkan peranan. Cara? Beralihlah kepada tamu untuk barang-barang keperluan yang boleh dibeli di sana. Herotkan pasaran daripada terlalu memusat kepada pasaraya-pasaraya gergasi yang beroperasi dengan mod kapita-iblisme totok. Praktiskan hak demokrasi kita dalam memilih pasaran individu secara bebas. Janganlah guna kuasa demokrasi hanya untuk berguling-guling di jalanan, macam tenggiling tak cukup makan.


4)  Bolehkah tindakan sekecil begini mengubah pola dan ragam jual-beli dalam sistem pasaran yang saiznya sangat-sangat besar? Kalau kita seorang saja memanglah tidak boleh. Ibarat seekor tikus kencing di stadium yang besar; sikit pun tak terasa hancing. Tapi jika ramai-ramai gunakan kuasa pengguna itu secara kolektif; impak kumulatifnya mampu membuat tauke-tauke pencekik leher itu sentap dan insaf. Seriously.

Bukan semua masalah dunia boleh diselesaikan dengan politik. Bahkan ada banyak ketika, penyelesaian secara politik mengundang lebih banyak masalah baru. Sebab itu dalam konteks penyatuan ke arah sosiobudaya dan sosioekonomi yang lebih harmoni, kita mesti guna alternatif lain juga. Menerusi seni sastera dan tradisi kulinari sebagai misalnya.


5)  Bah, siapa yang mahu lunch di Rumah Pangi hari ini dengan santapan diraja gaya etnik? Boleh datang sekarang. Dengan syarat, kamu masih bujang, belum ada boifren dan sungguh-sungguh berhajat mencari suami misali yang penyayang pada haiwan, terutama sekali kucing. Kami ada dua calon di sini: Aszlan Selamat dan Mohd Shyabrun.

Dari segi rupaparas, mereka mungkin tidak sedarjat dengan Aaron Aziz. Tapi kecantikan itu sebenarnya hanya kosmetik yang tidak signifikan. Sebab kalau sudah bergelinjang di katil bila malam menjelang; tutup lampu juga bah, kan?

:
— at Rumah Pangi, Tuaran.


NOTAKAKI:


Jom makan tarap Prof. 


Ready. Jom lunch semua!


Nasi bukit berlauk inovasi hinava gaya baru.


Kali ini saya menarik diri dari saingan. Tapi kembar saya Cikgu Juilis sudi menawar diri sebagai ganti. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...