Tuesday, May 21, 2013

POHON JAMBU TIDAK BERBUAH




i. Selepas menganalisis 8.5 juta cerapan bagi variabel sinoptik (merangkumi seluruh domain Asia Tenggara), dan 0.8 juta cerapan variabel iklim tempatan (dari 27 stesen kajicuaca seluruh pulau Borneo): saya akhirnya berjaya menjana preliminary finding untuk tesis PhD. Maka, saya pun bentangkan dapatan awal itu dalam satu seminar regional di Kota Kinabalu pada tahun 2002.

Seorang ahli botani dari Jerman, yang sedang menjalankan kajian di hutan Kalimantan, barangkali agak terpesona dengan pembentangan saya. Ketika sesi minum petang, dia datang kepada saya dengan ramah. “So you are the first Malaysian synoptic climatologist working specifically on seasonal prediction?” Dia bertanya penuh minat.

“No! Just forget about Malaysia. Even in my own family, I’m not the first. My mother was.” Kata saya dengan nada berseloroh. Saya tersengih, dia ketawa kecil. Kemudian saya ceritakan pada dia satu kisah: ‘pohon jambu tidak berbuah’. Saya tunjuk sikit muka dramatik, tapi dengan suara yang sangat bersahaja. Agar bujukan cerita saya lebih tinggi.

Selesai bercerita, dia terkasima dan terkedu. Tidak pasti sama ada dia rasa teruja atau takjub. Atau barangkali, perasaan dia bercampur baur tidak menentu.



ii. Pohon jambu liar itu (yang dipanggil ‘biabas’ oleh komuniti Dusun) terletak betul-betul di tepi bilik saya. Kami masih tinggal di Kg. Seborong, Kundasang. Inilah petempatan yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu, pada ketika itu. Ia berada kurang 8 km, dari tempat terletaknya Mesilou sekarang.

Saya ada dua masalah dengan pokok jambu nan sebatang itu. Pertama, pohonnya yang separa rimbun menghalang pemandangan, tiap kali saya mahu menjenguk dari tingkap bilik. Kedua, bunyi dahan dan ranting yang berlaga sesama sendiri ketika dilanggar angin gunung yang kencang pada musim monsun utara – sangat membingitkan. Sebab itu saya berkali-kali menghasut Ibu saya menebangnya.

Tetapi cinta dia (Ibu sayalah, siapa lagi!) pada pohon jambu liar yang tidak reti berbuah itu sangat luarbiasa. Tdak pernah sekalipun Ibu saya termakan hasutan. Ketika musim buah, biasanya selepas monsun selatan, si jambu itu gigih berbunga seperti pohon-pohon lain. Yang berbeza, putiknya jarang menjadi buah. Kalau ada, hanya satu-dua di sana-sini. Untuk makanan sekawan pipit pun tidak cukup. Kebanyakannya gugur berjejal-jejal. Hingga halaman rumah kami putih dengan bunga.



iii. Sebab itu saya sangat musykil dengan darjah kasih-sayang Ibu saya pada pohon sebatang yang tidak berguna itu. Sampai satu tahap, barangkali tidak tahan melayan rungutan anaknya yang tidak pernah berhenti, Ibu saya pun menceritakan rahsia istimewa di sebalik pohon jambu itu.

Oh, rupanya begitu. Bunga dan daun pohon jambu liar itu diguna sebagai petunjuk hujan musiman (i.e. seasonal forecasting). Jika pokok berdaun besar dan berbunga banyak, itu petanda musim yang akan datang hujannya lebat. Kalau sebaliknya, maka cuaca kemarau akan dijangka. Sebagai penanam kopi (dan juga pekebun sayur) – indikator iklim musiman begitu amat berguna untuk keluarga kami. Ia membantu ibubapa saya mengolah persiapan, strategi dan langkah tebatan yang bersesuaian.

Tapi serius. Penerangan gigih panjang-lebar Ibu saya ketika itu, saya langsung tidak peduli. Masuk telinga kiri, keluar ikut hidung. Tidak sempat pun sampai ke telinga kanan. Sebagai anak degil yang tipikal, tiada perkara penting untuk saya di dunia. Kecuali yang menguntungkan kemahuan sendiri. Yang saya mahu ketika itu, pohon jambu tidak berbuah itu ditebang. Bukan diberi ceramah karut, tentang korelasi bunga jambu dan hujan monsun.



iv. Beberapa tahun berlalu, kami terpaksa tinggalkan rumah di Kg. Seborong (Kundasang) itu. Ibu saya menjalani rawatan kanser. Saya berpindah sekolah ke Ranau. Kemudian Ibu saya meninggal, sekaligus menutup mutlak sebarang kemungkinan untuk pulang semula ke rumah lama di Kg. Seborong. Maka, kisah pohon jambu tidak berbuah itu: mula perlahan-lahan hilang dalam kenangan.

Saya mulakan pengajian PhD dalam bidang klimatologi sinoptik di Norwich, England pada Oktober 2001. Tigabelas tahun selepas Ibu saya meninggal. Saya jejakkan kaki di United Kingdom buat pertama kali selepas tiga minggu kejadian ‘September 11’ – yang telah mengubah secara drastik pandangan dunia terhadap umat Islam. Tapi saya tidak kisah sangat pun dengan isu hangat fobia-Islam.

Sebab fikiran saya tiba-tiba tepu, dihambat semula nostalgia lama: cerita Ibu dan pohon jambu liar yang sangat dikasihinya.



v. Seasonal prediction yang saya modelkan dalam kajian PhD untuk Borneo (menggunakan data empirikal sinoptik dan lokal) hanya menghasilkan ketepatan ramalan sekitar 65-70%. Bermaksud, terdapat elemen ketidakpastian sehingga 30%. Ini adalah julat error yang biasa bagi mana-mana kajian ramalan iklim, sekalipun menggunakan model dengan resolusi paling tinggi.

Kenapa? Mood iklim dikawal oleh banyak pembolehubah – yang sensitif dan dinamik. Jadi, iklim adalah unsur fizikal alam yang paling suka bertabiat tidak menentu, macam lelaki miang kurang seks. Highly unpredictable. Jika dapat memahami perubahan mood iklim sebanyak 65% pun, itu sudah cukup bagus. Daripada tiada langsung dan hanya meneka-neka dalam gelap, kan?

Tetapi sebagai penyelidik yang selalu dihambat naluri ingin tahu, saya tertanya-tanya: pengetahuan tradisional ramalan iklim seperti yang dikuasai oleh Ibu saya – agaknya berapa peratus darjah ketepatan?



vi. Soalan inilah yang gagal saya temukan jawapan daripada Ibu – kerana bertahun-tahun dahulu saya hanyalah anak bebal yang tidak reti dengar cakap orang tua. Juga, tidak berminat disogok kisah pengalaman mereka yang kedengaran seperti menentang logik. Tak perlu cemuh saya. Kamu semua pun begitu juga ketika kecil, kan?

Ibu saya sudah lama meninggal. Tapak rumah kami di Kg. Seborong itu pun sudah diambil orang lain. Pohon jambu yang pernah saya benci separuh nyawa itu juga sudah bertahun-tahun tumbang. Tunggul pun tidak bersisa.

Maka sekembali daripada pengajian PhD pada penghujung 2005, saya berjanji untuk merungkai semula enigma yang telah tersembunyi sekian tahun. Bersama kumpulan pelajar klimatologi saya yang komited, kami mulakan kerjalapangan tahunan di Kundasang pada 2006. Dengan misi mahu menggali pengetahuan tradisional iklim komuniti Dusun Liwan di daerah pergunungan ini.



vii . Selepas lima tahun berturut-turut bereksplorasi di Kundasang, dengan lima kumpulan pelajar yang berbeza, kami berjaya mengumpul data yang cukup untuk membuat klasifikasi pengetahuan tradisional – yang telah diguna penduduk pergunungan ini selama bertahun-tahun. Ketika mereka berinteraksi dengan alam, demi mencapai hubungan harmoni yang optima dengan iklim.

Kami temui banyak petunjuk ramalan dari item-item flora (e.g. tonduripis, biabas, togutoi, etc) dan fauna (e.g. kokou, kilau, tungau, etc). Kami juga mengenalpasti beberapa indikator perubahan iklim seperti rogimot dan tandaramai. Pembantu penyelidik saya, Adam Afiq (pelajar MA saya yang bergraduat tahun lepas), telah membuat tipologi pengetahuan tradisional yang unik ini. Lalu kami dokumentasikan dapatan tersebut secara sistematik – yang kemudiannya telah dianugerahi Pingat Perak dalam Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi UMS 2011.

Tidak mengapa kalau orang kata: alah, cuma jaguh kampung. Itu hanya permulaan. Jika benar mahu menjuarai dunia (baca: menginstitusikan ilmu tradisional ini secara formal dan saintifik pada peringkat lebih tinggi), kita mestilah bermula dari bawah, kan?



viii. Dari cetusan inspirasi serupa, iaitu nostalgia ‘pohon jambu tidak berbuah’: saya juga telah mengusahakan satu projek lain bersama seorang lagi pelajar sarjana, Choy Al-Naj. Masih tentang pengetahuan iklim tradisional – tetapi menumpukan kepada komuniti Suluk yang tinggal di pesisir pantai timur Sabah (Semporna).

Jika masyarakat Dusun Kundasang banyak menggunakan unsur flora dan fauna pergunungan dalam ramalan mereka; suku Suluk pula cenderung menanggapi iklim persekitaran dengan petunjuk-petunjuk berciri maritim – sama ada item fizikal (e.g. ombak, angin) atau pun biologi (e.g. burung laut, ikan). Pelajar seliaan saya ini telah diijazahkan pada tahun lepas, dan merupakan graduan pertama di Malaysia yang mengkhusus dalam bidang ramalan iklim tradisional.

Tidak lama dulu, saya ada dengar cerita bagaimana penduduk di sebuah kampung nelayan di Kota Kinabalu telah mendapatkan khidmat nasihat graduan saya ini untuk aktiviti ramalan cuaca. Berasaskan teknik tradisional. Dan saya difahamkan bahawa hasil ketepatannya sungguh memberangsangkan!



ix . Sebenarnya, nenek moyang kita (dari apa suku pun) kaya dengan ilmu dan informasi. Yang sesetengahnya sudah mendahului pencapaian sains yang kita sadur dari tamadun Barat. Tetapi warisan ini tidak diinstitusikan secara formal. Sebab itu statusnya cuma kekal sebagai tradisi lisan, yang jarang dipeduli oleh generasi muda.

Ini bukan sentimen semata-mata. Terdapat asas dan justifikasi saintifik yang kuat untuk mengangkat pengetahuan tradisional sebegini setanding dengan ilmu formal yang lain. Ia sudah mula dibuat di Barat, dan wilayah-wilayah lain di dunia. Pena’kulan yang dikumpul berzaman-zaman secara tradisi – didokumentasi dengan cermat, lalu dikacuk bersama sains moden bagi menghasilkan integrasi ilmu yang lebih berwibawa.

Itu sebenarnya semangat di sebalik usaha-usaha ini. Demi kesinambungan pengetahuan silam – sebagai pemberi nilaitambah kepada juzukan ilham para saintis dan sarjana kontemporari.



x. Untuk saya secara peribadi, ini adalah satu tribute kepada Ibu, serta ribuan lagi klimatologis tradisional di seluruh bumi Nusantara. Yang mewariskan segunung ilmu tidak ternilai, tetapi sumbangan mereka tidak pernah didendang.

Pohon jambu tidak berbuah – yang pernah saya benci itu – akhirnya memulangkan kembali secebis kenangan lama. Yang suatu ketika dulu, telah saya cuba pinggirkan berkali-kali.




NOTAKAKI:


Ann Sabrina L"Masuk telinga kiri keluar ikut hidung. Tidak sempat keluar ikut telinga kanan" hahaha. ...rasanya sayapun begitu. Dulu2 my late Moing tondu (nenek) saya selalu melihat langit, awan, serta alam termasuk bunyi2an binatang, cengkerik etc sekitar sebagai indikator menentukan masa...Nenek saya tiap hari membebel pasal dalam masa. Secara diam2 saya counter check tingu jam betul kaitu tekaan masa moing tondu saya atau dia parawatan nopo mau kami bangkit dari tidur atau bergegas pigi tidong. sometimes I was amazed how she could predict the time almost correctly dengan julat ketepatan.5-15 minit. Tapi betullah...saya juga tidak pernah bertanya berlebih lebihan...kalau tanyapun bukannya dengan niat mau belajar....menyesalpun tiada guna...now she has gone forever. Moga rohnya tenang di sana.
Mohd Khalil TajuddinRD, your narration on the pohon jambu is really touching. But that's not what I want to say here. I wish to comment on our people's habit of not documenting their finding or knowledge and when they die, the knowledge dies with them. Can you imagine how advance we'd have been medically, if traditional healing is documented and improvised by the next generation? Likewise, your late mother's knowledge on the coming season must have been passed through generations but when it it was not documented, it doesn't become scientific. I hope your research will pave the way for greater knowledge of world's climate.
Anis MahaliSemua kumpulan etnik peribumi d seluruh dunia ada kearifan masing2..sama ada didendang atau sebaliknya...tiba2 sya teringat ajaran seorg arwah responden sya ttg fungsi bintang dan angin dlm proses penanaman padi (sebelum, sdg dan selepas)....persoalannya, cuma sejauhmana kita mampu mengumpul semua pengetahuan lokal yg bersisa...tepat atau tidak (itu x perlu dipertikai)....sangat sayang semua pengetahuan itu akan segera hilang...ba..mana sdh janji 'org tu' kpd saya ttg makalah kearifan aaaa?
Kirana Homeopathy Healingpengalaman beralam di alam kampung selalu membawa kita kembali secara tidak disangka apakah secara pekerjaan mahupun kehidupan. pada saat posisang bedatangan di depan tivi pada jaman 2000-an ini, bau lumpur kubangan kerabau yang disuduk pakai besen buat menangguk ikan akan beraroma.iklim panas berbahang, penyakit upper respiratory tract mulai berdatangan, harga emas meningkat selain herba 8jenis seperti bunga kekwa-bebuas jepun mulai tinggi permintaan. drpd segenap cerita itu,biabas tetaplah biabas tanpa nilai tambah kecuali pada sekitar lewat 90-an apabila daun biabas dikomersilkan sebagai losyen tolak jerawat oleh sebuah syarikat di Pahang.unsur astringent pada daun biabas menangkal acne vulgaris dan diarrhoe secara pantas dan berkekalan. kita berharap penggalian ilmu lama serta penerokaan ilmu baharu akan terus dipugar
Rem DambulSatu perkongsian menarik seorang pembaca (dipetik dari entri yang dikongsi): "DuIu kalau musim padi atau sigup, datuk saya akan tiup itu sompoton. Dia cakap dengan kami, sompoton itu kononnya boleh bagitau dia apakah hari itu hujan akan turun atau panas terik sampai petang. Jadi bolehlah kami jemur itu padi atau sigup. Bunyi itu sompoton 'olombou' [garau] kalau mau hujan; nyaring sikit kalau panas terik." (AnJatung)

Logik sains klimatologi di sebalik teknik tradisional ini: peralatan muzik 'flute' seperti sompoton sangat dipengaruhi oleh 'property' udara sekliling (terutama sekali dari segi kandungan air dan tekanan). Bagi seseorang yang benar-benar peka, dia boleh mengesan perubahahan pada tala bunyi sompoton yang berubah-ubah disebabkan oleh perbezaan kelembapan (humidity) dan tekanan udara setempat.

Asas terpenting bagi ramalan cuaca moden juga bergantung kepada pengetahuan tentang taburan tekanan di udara serta kandungan wap air (humidity) yang ada. Sirkulasi atmosfera sangat bergantung kepada tekanan; dan menurut prinsip sains klimatologi - sirkulasi inilah yang akan menentukan bentuk cuaca di sesuatu tempat.

Pengetahuan tradisional sebenarnya adalah sejenis bidang 'applied science'. Not just pure wisdom. Mungkin orang-orang tua kita tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan proses saintifik di sebalik ilmu mereka. But they know exactly how it works to their advantage. And this comes from years of meticulous observation. Sama seperti saintis yang membuat eksperimen di makmal atau lapangan secara berulang-ulang dan berkali-kali - sehingga akhirnya boleh mencapai satu deduksi dan kesimpulan.

Nota:
sigup = sirih
sompoton = sejenis alat muzik (jenis tiup) tradisional Dusun, diperbuat daripada buluh dan labu

Kate Khaty Selepas membaca tulisan ini. Teringat kembali zaman kanak-kanak saya. Ketika itu arwah ayah saya, seorang nelayan jarang turun ke laut semasa bulan terang. Katanya kalau bulan terang tangkapan ikan kurang...dalam hati saya berkata, adakah ikan takut dengan bulan lalu bersembunyi ? Hehehe...
Rem DambulKate Khaty, pada bulan terang, ikan suka menyelam lebih dalam (jadi lebih sukar dipukat) sebab takut disambar haiwan pemangsa dari darat (e.g. helang laut). Ketika bulan gelap, kebarangkalian serangan pemangsa lebih rendah.

Dalam tradisi Dusun ada yan
g dipanggil 'mengumba' (menebang buluh digalakkan ketika wulan rondom - bulan gelap; iaitu sekitar 28-2 hb ikut kalendar bulan Hijriah). Pada bulan terang/purnama (lawan kepada wulan rondom) - tidak bagus menebang buluh sebab fotosintesis buluh berlaku pada waktu siang dan malam (dibantu oleh cahaya bulan). Jadi secara relatifnya, batang buluh menjadi 'lebih lembut' pada ketika bulan terang/purnama (antara 12-16 hb bulan Hijriah) sebab proses fotosintesis (pembinaan makan dalam fisiologi batang buluh) berlaku dengan ekstra aktif. Ini akan meningkatkan risiko serangan bubuk (anai-anai buluh).

Sebab itu kalau mau buluh yang tahan (ini adalah binaan asas terpenting bagi rumah tradisional Dusun) - maka haruslah ikut tradisi 'mengumba' (iaitu menebang buluh hanya pada ketika wulan rondom). Kalau ngam-ngam rondom lagi bagus, iaitu pada 30 & 1 hb bulan Hijriah (kalendar Islam, bukan kalendar Gregorian yang berasaskan kitaran matahari).

Meor Zaidi Meor Razali Pernah saya menemuramah seorang tok batin d sekitar tasik bera. Hasil pendapatn utamanya ialah minyak keruing. Bagi mendapatkan hasil minyak yg optimum, pokok yang dicari ialah pokok yg condong/menghadap matahari terbitMasih banyak ilmu peribumi yg perlu di kaji dan di rekod. Dan alangkah baiknya semua ilmu ini dapat di bukukan ....



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...