Saturday, July 11, 2015

KITA PATUT SYUKUR PENUH, BUKAN SYUKUR BERSYARAT




1.  Kata orang, Ramadhan adalah bulan terbaik meningkatkan ibadat. Cuma jangan lupa, ibadat bukan sekadar wirid dan solat. Berkebun pun salah satu amalan ibadat terpuji. 

Puasa bukan alasan untuk bermalas-malasan dalam urusan duniawi. Nabi dulu berperang semasa Ramadhan, demi menewaskan ancaman musuh, merobohkan kebergantungan pada sistem jahiliyah dan sekaligus mencipta kebebasan insani. Mengambil semangat yang sama, mungkin ini bulan paling afdal untuk memerangi cabaran-cabaran sosioekonomi di luar. Kemudian melepaskan diri dari kongkongan mental mabuk subsidi. Caranya? Dengan berlumba-lumba meningkatkan keusahawanan kendiri. 

Apa salahnya berkebun. Selain dapat mengelak dari terjebak dengan aktiviti mengumpat dan merungut-rungut; kesibukan berkebun juga membawa hasil jariah untuk diri, komuniti dan alam. Nada ayat ini agak bombastik. Tapi serius, ia membawa kebenaran tulen yang namasayazahraberumur23tahun pun tak mampu nafikan.


2.  If you don’t like something, change it. If you can’t change it, change your attitude – Maya Angelou menyarankan dengan penuh diplomatik. Rem Dambul yang brutal pula berkata: If you refuse to change something you don’t like, and expect someone else or the government to do it for you – go and die with your self-pity attitude. You obviously don’t understand what life is.

Nama dia Mutalib Uthman. Ketika umur 23 tahun, dia sudah rasa jatuh-bangun dan jerih-perit menubuhkan pelbagai syarikat berasaskan operasi niaga. Dia tak pernah bermimpi disogoh jalan terang yang permai. Kerana dia sedar: seluruh penjuru dunia ini, di mana-mana jua pun, cuacanya sedang berkabut. Jadi dia mesti beranikan diri untuk meredah ribut dengan kudrat yang ada.

Sekarang Mutalib bukan lagi berumur 23. Tapi tidaklah tua sangat pun; masih muda beliawan. Dia bukan saja memiliki kerjaya, kereta, rumah dan rumahtangga. Dia juga mampu menawarkan pekerjaan kepada orang lain. Serta memberi kehidupan kepada ratusan anak yatim dan insan malang segenap pelosok negara. Dari Kuala Lumpur yang metropolis, sampai ke Sabah yang marginal.


3.  Kalau masa umur 23 tahun dulu, Mutalib menzahrakan diri – di mana agaknya dia sekarang? Mungkin masih berteriak-teriak di jalanan, mengemis harapan dari manusia-manusia berdarjat. Yang hakikatnya hanya tahu menabur janji, tapi jarang mengerti pergelutan-pergelutan hidup kaum terpinggir. Sekurang-kurangnya Mutalib tak perlu lagi keridau keriak. Kalau mahu, dia sekarang boleh riak (baca: liar dan angkuh) – which he is fully entitled to. Sebab dia telah robohkan tembok yang menghalang impiannya dengan tulang-temulang sendiri yang hampir carik. Bukan dengan kata-kata viral yang sekadar retorik.

Saya tidak anti kepada komuniti sayazahra. Saya juga bukan mau satubakulkan semua manusia dengan nilai yang serupa. Of course, life comes in many different forms to each and everyone of us. Setiap satu berdepan dengan pertarungan unik. Tapi kita semua berada dalam domain sosioekonomi dan sosiopolitik yang setara. Kita semua dihimpit oleh persekitaran yang genting dan kritikal – meski zaman berbeza-beza.

Ketika usia 23 tahun, saya masih berjalan kaki ke tempat kerja. Rumah pun menumpang ihsan gomen. Lepas dua tahun, baru saya dapat naik motorsikal Honda EX5. Itu pun jenuh mengajar tuisyen siang malam, selain buat kerja hakiki. Ketika umur 30 tahun, saya belum ada rumah. Dengan biasiswa cuma £415 sebulan, saya teruskan ijazah pasca di Norwich (taraf hidup kedua tertinggi selepas London di UK). Siang buat part-time jadi tutor untuk kurus-kursus undergraduate; malam pula jadi tukang sapu di hospital. Siapa kata belajar di UK penuh pesona dan glamour?


4.  Life is unfair, get used to it: kata Bill Gates. Yes, life is never easy for anyone in any era. Majoriti rakyat Malaysia datang dari latarbelakang kelas pertengahan rendah dan kelas bawahan. Semasa kecil, saya jalan kaki turun-naik bukit dari Mesilou hingga ke pekan Kundasang untuk ke sekolah. Jarak pergi-balik hampir 20 km. Sebab itu sampai ke usia separa senja, betis saya masih gagah melompat. But that is not the point here.

My point is: your struggle is not my struggle. Mine is also not yours. Setiap kita ada situasi unik, dan cabaran dengan merit tersendiri. Sebab itu suara sayazahraberumur23tahun tidak boleh dinasionalkan. Tidak perlu ada gerakan mau menzahrakan anak-anak muda Malaysia. Ya, saya sayang Malaysia. Saya mahu melihat pertumbuhan peluang ekonomi yang lebih makmur di bumi ini. Tapi saya malu mahu sandarkan perubahan itu kepada entiti lain semata-mata. Tidak kepada orang politik, tidak kepada pemimpin, tidak kepada ilmuan dan tidak kepada siapa-siapa jua. Saya wajib gerakkan perubahan itu dari dalam diri.

Tidak berputus asa dan bersyukur, itu sikap mulia. Tetapi merungut berjela kerana pelangi tidak nampak selepas gerimis, itu membatalkan dua sikap mulia itu. Syukur adalah tindakan, bukan kata-kata. Kita patut bersyukur penuh, bukan syukur bersyarat.


5.  Saya Rem Dambul. Saya memilih untuk memutalibkan jiwa nurani, bukan menzahrakan diri.

— celebrating tanakwagu opogot do mindaho. at Rumah Pangi, Tuaran.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...