Tuesday, December 29, 2015

SURAT FESBUK KEPADA MENTERI PALING SIBUK



Selain menjadi klimatologis sepenuh masa; saya juga seorang penulis puisi-puisi cinta, pekebun misali Tuaran, penternak kucing jalanan, pengembara tegar di padang pasir dan pelukis doodle sedang meningkat popular. Enam ya, bukan sekadar tiga!
Sebab itu sampai sekarang saya masih seorang lelaki sepi yang belum jumpa bunganya di taman yang luas. Habis kalau dapat pun, macam mana mau kerjakan bunga itu nanti kalau siang malam asyik penat bekerja? Lagi pun, tiada ertinya ada anak bini kalau kurang kasih sayang dan nafkah batin.

Nampak tidak apa isunya sini, YB Datuk Menteri? Kerja berlebihan boleh mengganggu imbangan hormon seksual manusia. Itu kemudian merencat kestabilan institusi keluarga, sekaligus membantutkan produktiviti negara. Sebab kita terpaksa pula melabur tinggi untuk mitigasi pelbagai gejala sosial e.g. kes juvana anak-anak yang terabai, penderaan, kesihatan mental, etc.

Azam tahun baru saya adalah untuk memberi fokus sepenuhnya kepada satu kerjaya hakiki. Biar pendapatan tak melimpah ruah, asalkan rezekinya benar-benar bersih dan adil. Guru saya pernah berpesan: kunci kepada kecukupan hidup adalah berkat, bukannya banyak.

Saya harap YB Datuk Menteri boleh bantu saya menjayakan azam murni ini menerusi kewujudan iklim sosioekonomi domestik yang cerah. Bagaimana? Dengan memberi nasihat kepada kerajaan untuk melaksanakan polisi-polisi yang lebih mesra rakyat. Misalnya, mengekang kenaikan kos keperluan AWAM seperti pengangkutan dan perumahan; serta mengawal dengan TEGAS manipulasi harga barang-barang asas makanan dan pendidikan oleh kapitalis tamak.

Saya merayu. Tolonglah berhenti buang masa, terus bertubi-tubi dan berulang-ulang menasihati kami rakyat jelata supaya buat itu dan ini. Mungkin kami semua memang bebal abadi yang tak reti hadam nasihat. Maklumlah CGPA kami rata-ratanya di bawah 3.8. Faham?

Sekian, terima kasih.

Rem Dambul
Pekerja Multibidang Yang Mahu Insaf

_______________________________________________________________
Penulis buku Alien Menchari Chinta (2012), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (2014) dan Dari Cinta Kepada Cinta (2015). Sila klik:
http://www.itbm.com.my/catalogue/buku/alien_menchari_chinta/
http://www.itbm.com.my/catalogue/buku/deja_vu_cinta_pencari_katarsis/
http://www.itbm.com.my/catalogue/buku/kumpulan_puisi_dari_cinta_kepada_cinta/
 — atRumah Pangi, Tuaran.


Artikel asalnya tu di sini...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...