Tuesday, November 3, 2015

SEPERTI HUJAN, CINTA KADANGKALA DINGIN

i. pernahkah kau mencari mawar
ketika puncak musim salju?

begitulah rindu bertepuk sebelah
seperti menanti bunga kembang penuh
sedang pohonnya belum pun tumbuh

ii. pernahkah kau cuba berdiang
pada unggun yang tidak berapi?

begitulah cinta separuh mahu
seperti menunggu tinggalan bara
yang enggan menyala sampai bila-bila

iii. ada waktunya hati ini mesti belajar
mendiamkan rindu dan merahsiakan cinta
kerana menyemai harapan pada musim rambang
di taman yang pekebunnya sudah lama pergi
sama seperti mencarik jantungmu dengan belati
yang dipegang oleh tangan sendiri

jangan sesekali terlupa
meski rindu terlalu kuat rasa ingin
seperti hujan, cinta kadangkala dingin

sabandar
november 2015

:
— at Rumah Pangi, Kg. Sabandar.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...