Thursday, October 29, 2015

KELANA - SATU PROSES REFLEKSI DIRI


1.  Cara terbaik untuk tumbuh secara mental dan rohani – adalah menerusi kelana (Déjà vu Cinta, 2014). Bila kita mengembara, proses refleksi diri menjadi dua kali lebih efektif daripada membaca kitab-kitab agama. Bila kita mengembara, proses cerapan ilmu menjadi tiga kali lebih produktif daripada mendengar kuliah-kuliah akademia. 

Kejadian dalam gambar bukan berlaku semalam atau minggu lepas. Ini throwback 2011, hampir empat tahun dulu. Saya geram dan cemburu melihat kawan-kawan yang ada banyak masa lapang keluar mengembara menjelang hujung tahun begini. Sedangkan saya masih terus terpenjara dalam kemelut jerebu. Di sini-sini juga, dibebani tugasan yang selangit menimbun.

Nota: Jangan terpedaya dengan dengan ayat hiperbola di atas. Itu sebetulnya hanya cubaan hipokrit si Rem untuk menunjuk-nunjuk konon dia sangat gigih bekerja!

2.  Foto itu dirakam di Aoraki Airport, sebuah bandara (lapangan terbang) kecil di pulau selatan New Zealand. Letaknya tidak jauh dari Mt. Cook yang ikonik. Malangnya tidak ada keterangan terperinci tentang jenis aktiviti yang sedang dilakukan oleh lelaki baju merah. Mungkin dia sedang separuh sewel separuh jiwang kerana amat teruja dengan panorama indah sekitar pergunungan glasier itu. Mungkin saja. Spekulasi itu tidak semestinya betul, ok.

Ada satu perkara yang menarik tentang New Zealand. Nama bagi majoriti tempat tarikan pelancongan sangat tebal dengan citra tempatan nan unik. Ia diwarisi dari nama-nama asli yang diberi oleh bangsa Maori. Meski hakikatnya strata urustadbir tertinggi negara ini dikuasai hampir seluruhnya oleh kaum migran kulit putih.

Patut Kundasang juga ambil iktibar tentang ini. Tidak perlu berahi sangat menukar nama-nama sedia ada dalam dialek Bunduliwan kepada sistem penamaan Melayu-sentrik. Sebab setiap nama asal itu menawarkan nilai sejarah dan geografi yang tersendiri, serta signifikan kepada soisobudaya setempat.

3.  Saya kadang-kadang ditanya. Erk, kamu mengembara lama ini – kenapa tidak bawa buku? Kamu tidak membaca apa-apa sampai dua belas hari? Daripada bawa buku yang berat, bagus bawa periuk belanga. Sekurang-kurangnya dapat juga masak rendang di negara orang, kan?

Sebenarnya perjalanan itu sendiri adalah satu proses pembacaan yang aktif. Maka, nikmatilah ia sepuas-puasnya. Semasa mengembara, simpanlah buku-buku yang sudah dikarang dan dinaskhahkan oleh penulis lain di rumah. Sebab buku yang sudah ditulis itu boleh dibaca bila-bila pun.

4.  Buka mata dan hati untuk membaca seribu halaman daripada “buku-buku yang belum ditulis” – yang terselak luas di mana-mana – sepanjang tempoh pengembaraan. Kalau perlu: sila catit, lakar atau lukis. Tapi jangan tenggelam asyik dalam naskhah buku yang sudah tercetak. Kerana kita tiada peluang kedua untuk menelaah semula "buku yang belum ditulis", andai kita terlepas mengamatinya pada kali pertama.

Saya rasa sebuah pengembaraan itu impaknya kurang bermakna, kalau kita sengaja tidak 'membaca' segala macam ilmu dan refleksi yang ditawarkan. Ya, ini tip nombor satu dari saya, bila mengembara.
— at Aoraki / Mount Cook.


Artikel asalnya tu di sini...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...