Sunday, September 27, 2015

SUNDUAN AKI NABALU


I.  Penekanan kepada ilmu sains telah lama diterap dalam sistem pendidikan. Sebab itu dua daripada lapan universiti awam terawal di Malaysia berpaksi khusus kepada sains teknologi: iaitu USM dan UTM. Bahkan kurikulum di peringkat pendidikan menengah dan rendah turut diolah dengan bancuhan sains yang begitu pekat, hingga wujud sekolah-sekolah berasrama penuh aliran sains di seluruh negara.

Saya fikir, Malaysia mungkin antara negara yang paling taksub memberatkan aspek sains dalam pendidikan. Kita melabur terlalu banyak kapital, dari segi dana dan urustadbir, untuk ini. Hingga polemik paling kritikal bidang pendidikan dalam dua dekad kebelakangan ini pun dikuasai hampir sepenuhnya oleh isu-isu sains, matematik dan teknologi.

MASALAHNYA.

Dari segi output – iaitu penghasilan rekacipta – kita masih sangat mundur. Dari sejumlah pelaburan kita yang begitu gadang untuk pendidikan dan penyelidikan sains – hanya sekitar 5% berjaya diterjemah kepada inovasi. Maksudnya, kita adalah negara yang supra hadam sains – tetapi daya kreatif begitu daif dalam menjana teknologi yang berguna.

II.  KENAPAKAH?

Salah satu punca – kerana pemisahan totok antara sastera, seni dan sains sejak pendidikan sekunderi hinga tertiari. Kita sangat liberal terkinja-kinja dalam banyak aspek kehidupan lain. Tapi dalam konteks pendidikan, kita masih konservatif dan tidak cukup terbuka untuk merentas disiplin. Kita kekal terpenjara dalam sekularisme yang rigid: memisah-misahkan antara agama, seni, sastera dan sains.

Sains tanpa imaginasi adalah seperti ulam tanpa sambal. Kombinasi yang tiada umpph. Seperti ilmu yang vakum.

Sains memugar kemahiran empirikal, tetapi sastera dan seni memacu kreativiti. Gabungan kedua-duanya akan menghasilkan para pencipta yang inovatif. Sebagaimana yang berlaku dalam tamadun silam China, era kegemilangan Islam dan zaman pembaharuan (renaissance) di Eropah. Ketika begitu rancak inovasi dan ciptaan – kerana para saintis tidak dipisahkan dari imaginasi oleh tembok pendidikan yang rigid.

III.  Lompang pendidikan ini telah mula disedari. Sebab itu pelan pendidikan negara peringkat tinggi yang terdahulu (PSPTN, 2007), begitu mementingkan pengembangan domain pembelajaran yang komprehensif, mencakup seluruh dimensi. Bukan hanya aspek kognitif dan akademik, tetapi juga pelbagai kemahiran insaniah.

Tetapi PSPTN masih tidak dioperasikan dengan efektif. Terutama pada peringkat pengajaran dan pembelajaran. Maka, kesinambungan pelan pendidikan yang baru dengan sepuluh lonjakan yang lebih mencabar telah dilancar pada awal tahun ini. Antara objektif TERPENTING adalah melahirkan graduan yang lebih HOLISTIK, dengan kemahiran menyeluruh. Sebab itu kaedah pengajaran perlu direformasi, agar pengalaman pembelajaran para mahasiswa lebih bermakna.

Di UMS, saya kebetulan diberi tanggungjawab untuk memastikan berlakunya “reformasi kaedah pengajaran dan penilaian” yang sedemikian. Ini satu amanah yang besar dan mencabar. Kerana merobohkan mentaliti yang sudah lama berkembang – memerlukan kesabaran dan strategi yang halus.

IV.  Liberalisasi pendidikan (yang bertujuan menghasilkan graduan holistik) – masih tidak dapat diterima oleh semua orang. Bila kita mengusulkan idea ‘kacukan semula’ sains, seni dan sastera (secara tidak langsung menerusi mod pengajaran/penilaian yang kreatif) – terlalu ramai yang pesimis. Masing-masing taksub mahu memelihara ‘ketulenan’ disiplin masing-masing, tanpa sikit pun menyedari bahawa dunia sudah sudah lama berubah. Cabaran global abad yang baru ini menuntut graduan yang lebih serbaboleh dan tidak hanya berfokus kepada kemahiran discipline-specific.

Pameran Sunduan Aki Nabalu (yang menjadikan seni lukis sebagai media penyampaian ilmu dan informasi bersabit fenomena gempabumi) adalah satu contoh usaha ke arah itu. Kerana ia merobohkan pemisahan antara citra sains dan seni.

Saya tahu ramai yang mencebik ‘kewujudan acara ini’ dalam program budaya ilmu universiti kami. Tapi kerana di bahu saya ada tanggungjawab yang berat untuk menjayakan transformasi pendidikan negara menerusi pelan lonjakan yang baru: maka saya sendiri perlu turun padang. And show it to the varsity community that it can be done.

V.  Menjalankan amanah perlu keberanian, dan mesti tegar mengambil risiko dengan keputusan-keputusan yang tidak popular. Kerana selagi kita takut dicemuh, dicebik dan diperli-perli – selagi itu kita tidak akan mampu menawarkan pembaharuan dan anjakan.

Lalu kita akan terus kekal jumud di takuk yang lama.

NOTA: Pameran Sunduan Aki Nabalu akan berlangsung di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah sehingga 30 Oktober 2015. Boleh datang melawat bila-bila. smile emoticon
— with Zawawi Tj at Perpustakaan UMS.


Artikel asalnya itu di sini....


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...