Friday, May 22, 2015

BERAKHLAK DENGAN TUHAN, MENGANJING SESAMA MANUSIA



1. Kau terhegeh-hegeh datang lambat ke masjid untuk solat Jumaat. Barangkali sebab terlalu mahsyuk bersenggama dari malam Jumaat sampai ke tengahari esoknya. Kau menyangka Tuhan akan beri pahala lebih atas kerjakeras aksi-aksi sunnah tambahan itu.
Masa kau terjempul di perkarangan majid, ngam-ngam khutbah baru habis. Maka kau kelam kabut parkir kereta di mana-mana yang sempat. Kau lapiskan atas kereta orang lain yang sudah bersusun-susun. Kemudian kau lari macam jembalang tanah yang dijampi Tok Dukun. Fuh, mujur sempat rakaat pertama bersama imam, tak perlu masbuk.

2. Usai solat Jumaat dan doa, kau tekun lagi berzikir dan sembahyang sunat. Sambil bersenang-senang di bawah hembusan kipas masjid. Mungkin dengan harapan Tuhan akan ganti pahala khutbah yang tak sempat kau kutip tadi, kerana waktu itu kau sedang leka kesedapan menindih bini di rumah. Hingga kau terlepas mendengar khatib berkongsi tazkirah.

Di kawasan parkir, berpuluh-puluh jemaah lain menunggu dalam panas terik. Kereta masing-masing tersekat tak boleh bergerak. Kerana kereta bagak kau diparkir macam bangkai sial menghalang laluan. Lepas beberapa minit kau masih tak muncul-muncul – sudah ada yang bunyikan hon bertalu-talu. Dengan hati terbakar luluh sambil menyumpah seranah.

Mereka terdesak atas pelbagai sebab. Ada yang perlu keluar segera mengambil anak yang sedang menunggu di taman asuhan. Ada juga yang perlu sampai ke opis cepat untuk tugas-tugas genting.

3. Kemudian kau keluar dari masjid dengan muka riak tujuh lapisan syurga. Kerana selain telah tunaikan kewajipan solat Jumaat, kau juga berjaya sempurnkan doa, zikir dan solat sunat sekaligus. Dalam hatimu ada harapan kembang berbunga: Tuhan tentu akan menyayangiku hari ini lebih dari hari-hari yang lain! Wah, bukan main lagi kau berfantasi.

Jalan kau pula lembab terkemut-kemut, macam gampang maduk todi. Nginding-nginding mengalahkan perempuan bunting lapan bulan. Padahal perutmu sendiri cuma boroi sedebak tapir, bukan sebesar badak air. Bila sampai di kereta, kau buka pintu dan hempukkan badan nan gedempok itu ke dalam. Kemudian kau memecut entah ke mana. Tanpa sikit pun rasa bersalah, kepada puluhan Muslimin lain yang terbantut urusannya.

4. Kezaliman berlaku – bila kita letakkan sesuatu pada tempat yang salah. Misalnya, terlebih berahi mau tunaikan perkara-perkara sunat, tapi langsung tak peduli pada mudarat yang tercetus. Doa, zikir dan solat ba’diah: itu semua cuma hai’ah (hiasan) kepada amalan. Kalau situasi mengizinkan, digalakkan buat. Tapi melunaskan hak manusia lain – itu hukumnya wajib. Ia mesti didahulukan.

Kalau kau parkir kereta melintang jalan dan menghalang orang memandu ke destinasi yang diingini – itu pengkhianatan tegar pada hak insan lain. Sebenarnya, jika kau tunaikan satu hak pada yang berkehendak – itu jauh lebih mulia di sisi Tuhan. Dari kau bertasbih seribu tahmid sampai lenguh jari. Atau solat sunat puluh rakaat sampai lebam dahi.

Don’t get me wrong here. I’m NOT preaching for perfectness. Nobody is syumul. Saya sendiri tiap-tiap hari berdosa pada manusia. Tapi poin saya: janganlah kejahatan terhadap makhluk lain itu berpunca dari ketaksuban melampau mahu beribadah kepada Tuhan.

5. Ya, memang boleh – jika kita mahu lebihkan pemujaan kepada Tuhan. Sebab dia Pencipta yang memberi kita segala-gala. Tapi lakukan dengan berimbang. Jangan sekali-kali menzalimi makhluk ciptaan-Nya yang lain semata-mata kerana gigih mau membodek Dia. Agama mengajar kita tentang kepentingan cinta dalam semua hubungan: kepada Tuhan, insan dan alam semesta.

Usah kelirukan prinsip beragama yang paling tuntas dan mendasar. Seolah-olah agama cuma mengajar penganutnya berakhlak dengan Tuhan, tapi sesama manusia boleh saling bertabiat anjing sesuka hati. Ingatlah, tiada yang lebih jijik dari menganjingkan orang lain atas nama agama.


#khutbahpascasolatjumaat


:
— at mimbar kakilima di sebuah kedai menjual dedak ayam.



3 comments:

  1. yeayyyyy Doc Rem sudah berblog....saya akan jemput Doc ke group kami....Sentraal Station....

    ReplyDelete
  2. Ish, mana button like ni..
    (Selalu singgah sini. Hari ni baru komen :p)

    ReplyDelete
  3. mohon share tuan, akan saya sertakan link ke blog tuan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...