Tuesday, April 28, 2015

TIGA CINTA SEORANG LELAKI



Serius. Ini sangat sensasi. Seorang lelaki sedang menawarkan tiga cinta di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Tapi ada persoalan misteri: siapakah lelaki itu? Adakah si baju hitam bermisai kucing; atau si baju putih bermata kucing?

Cari jawapan sendiri, ya. Antara dua itu, hanya seorang sahaja.




Alien Mencari Cinta, 2012.

PERTAMA: Cinta Alien

Alien Mencari Cinta terbit pada 2012. Ia mencipta sejarah peribadi, dan barangkali melakar sejarah sastera negara. Buku ini karya kreatif pertama saya, dan tiba-tiba menang kategori utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Masa itu saya di Jeddah. Ramai kawan yang memberitahu kemenangan itu cetuskan kontroversi dan kritikan hebat.

Reaksi saya? Mengkritik dan dikritik adalah darah daging saya. Seteruk mana pun orang mengkritik, saya ok dan cool saja. Sebab saya sendiri seorang pencemuh terbaik dunia. Ada kawan bagitau: “Cuba baca ulasan dia ini. Dahsyatnya!” Saya balas: percayalah, kritikan orang itu kepada saya tidak sehebat saya mengkritik diri sendiri. Saya tidak pernah mendabik megah bahawa Alien adalah buku puisi terbaik. Hakikatnya, tiada siapa yang boleh menulis buku yang disukai oleh semua orang.

Tapi paling tidak pun, ada dua Sasterawan Negara dan beberapa penulis mapan yang memuji buku tersebut. Saya juga dihujani mesej dari para pembaca biasa yang menyatakan bahawa: Alien adalah buku puisi Melayu yang pertama dibacanya dan sangat teruja. Betul, Alien mungkin masih sebuah karya yang mentah dan naïf. Namun ia mencipta tarikan tersendiri kepada dua kelompok pembaca daripada hujung spektrum yang sangat berbeza. Saya fikir ia merobohkan jurang antara sastera marhaean dan elitis. Kemudian mencipta titik pertemuan kedua-duanya.

Jika matlamat sastera adalah menyatukan; maka bagi saya, itu adalah sebuah kemenangan yang lebih berharga. Hadiah Sastera Perdana yang menyusul – itu cuma satu bonus kecil.


Deja Vu Cinta Pencari Katarsis, 2014


KEDUA: Katarsis Cinta

Saya sedar buku Alien (2012) ada kemanisan tersendiri. Malangnya ‘faktor x’ itu bukan satu formula yang boleh diguna berulang-ulang. Seperti sentapan minimalist yang dibawa oleh Mimpi Laila (Juara Lagu 2001, Yasin) dan Itu Kamu (Juara Lagu 2007, Estranged) – rumus yang sama jika terus diulangi akan jadi klise. Sebab tarikan naïf yang seunik begitu hanya boleh menyerlah sekali saja.

Sebab tidak mau mengulangi acuan Alien; buku kedua saya, Déjà Vu Cinta Pencari Katarsis (2014), diberi sedikit bancuhan ‘eskperimen’. Saya cuba bermain dengan pendekatan yang tidak ortodoks; misalnya memasukkan puisi prosa dan catatan, serta menggunakan foto, selain dudel dan catan. Tapi dalam masa yang sama, saya juga tidak mahu hilang identiti minimalist yang sudah sebati dengan pembaca. Serius, mengimbangi dua paradoks ini amatlah susah.

Manuskrip Déjà Vu Cinta dihantar kepada ITBM pada Disember 2013. Ia diluluskan sekitar Februari 2014 selepas proses pewasitan eksternal. Tetapi ia hanya terbit setahun kemudian, pada Disember 2014. Saya berterimakasih kepada ITBM (dan editor Ainunl Muaiyanah) yang begitu sabar dengan sikap lengah-lengah saya. Oleh sebab buku ini tentang ‘katarsis’ (perihal kepuasan jiwa dan minda) – maka saya tercabar seberat-beratnya dalam cubaan mencari konsep dan arahtuju yang bersifat klimaks. Tajuk pun 3-4 kali diubah. Kerana itu proses penerbitannya pun lebih panjang daripada biasa.

Barangkali Déjà Vu Cinta tidak semanis Alien. Tapi di dalamnya ada kepahitan yang lebih mujarab. Secara jujur, saya katakan bahawa buku ini amat istimewa. Kerana ia lebih tepat mewakili persona saya daripada dua buku yang lain. Déjà Vu bukan sekadar katarsis pembacaan bagi yang memilikinya – ini juga adalah katarsis jiwa seorang pengarang. Yang semakin menemui jiwa dan nurani sendiri.




Dari Cinta kepada Cinta 2015


KETIGA: Kepada Cinta

Buku ketiga ini, Dari Cinta Kepada Cinta (2015), lahir menerusi sayembara. Ini pertandingan sastera yang pertama saya sertai seumur hidup. Walaupun tidak menang hadiah utama, berada dalam kelompok 10 terbaik (daripada 382 manuskrip yang disaring) – itu amat bermakna untuk saya. Dalam soal nombor dan hadiah, saya begitu mudah dipuaskan. Kerana ketika menulis karya tersebut, saya sudah pun mendapat kepuasan secukupnya.

Saya gelar buku ini dengan nama timangan Cinta. Mungkin ada yang tertanya-tanya: apa masalah lelaki kasmaran ini? Selepas jadi ‘alien’ yang mencari cinta, kemudian telah bertemu ‘katarsis’ – kenapa masih terus taksub dengan ‘cinta’? Serius, saya pun tidak tahu kenapa. Mungkin sebab 'lelaki itu' memang jenis kurang kasih sayang? smile emoticon

Tapi beginilah. Keseluruhan puisi dalam buku Cinta ini ditulis sepanjang 2014; majoritinya ketika mengembara di pelbagai tempat. Sebagai seorang klimatologis (ahli kaji iklim), saya menyukai kepelbagaian mood yang dirakam kerana sedikit-sebanyak ia terolah dalam kitar musim yang berubah-ubah. Begitulah seorang lelaki yang sepi. Kerana tidak mampu mencari cinta di hati manusia, maka dia memilih untuk bercinta dengan musim yang tak pernah menentu: di sebalik angin, hujan dan arus laut. Boleh gitu?


NOTA HUJUNG

Dapatkan ketiga-tiga buku ini di gerai Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)dengan potongan supra istimewa. Diskaun 40% semasa ‘happy hour’ (10.30-11.30am); atau, diskaun 30% untuk semua buku, bila dapat sekurang-kurangnya satu naskah buku dengan tandatangan penulis yang berada di ‘kafe khas’ berhampiran gerai ITBM; atau, diskaun khas 10% sepanjang PBAKL tanpa apa-apa syarat. Maaf, penulis yang masih dahaga cinta ini tidak dapat bersama-sama dengan peminat di PBAKL pada tahun ini kerana masalah tugasan.



3 comments:

  1. Salam. Dr, buku terbaru dari cinta kepada cinta terhad dijual di gerai ITBM, PBAKL sahaja atau ada dijual di UMS?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum... Dr...
    Mcm mn nak dapatkan buku Dr ni... ??

    ReplyDelete
  3. Boleh order secara online di ITBM: http://www.itnm.com.mu/catalogue

    Atau tunggu dijual di UMS dalam tempoh tiga minggu lagi. Sedang menunggu stok diterbangkan daripada Kuala Lumpur.:-)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...