Sunday, April 1, 2012

KEAJAIBAN ANTROGEOGRAFI MEKAH



i. Dari sudut mata rohani, Mekah memang penuh dengan pesona. Hal ini sudah terlalu banyak dikhabarkan. Oleh puluh ribu orang, yang pernah menyusur kembara spiritual di sini.

Saya tidak perlu mengulang perkara yang sama. Kerana pengulangan hanya merencat kesan sentuh, kisah-kisah rohaniah itu pada jiwa. Lagipun kamu semua bukan bebal, yang perlu difahamkan berulang-ulang.

Saya mahu menukil sesuatu yang jarang diceritakan perihal pengalaman di Tanah Suci. Yang bersifat lebih duniawi dan lahiriah. Tentang ciri istimewa Mekah dari kacamata empirik.

ii . Saya mahu bermula dengan satu tesis sendiri: bahawa keajaiban sains paling unggul kota ini terletak pada aspek geo-antro sosial. Yang bukan saja unik, tetapi menongkah tabii alam yang lazim. [Nota: Rem Dambul, pemerhatian di lapangan 28-31.03.2012]

Bagaimana? Mari saya kongsikan.

Dari segi geografi, lanskap fizikal Mekah sebetulnya sangat rumit. Ia terletak di tengah gurun gersang, jauh dari wilayah pantai serta sumber hidrologi (yang dianggap katalis klasik untuk menjana peradaban), dan dikelilingi bukit-bukau dari batu mendak yang rapuh. Secara konvensional, hukum deterministik alam sekitar menolak dengan keras potensi lokasi ini sebagai satu petempatan.

Hukum yang sama semestinya menafikan juga kemungkinan tempat ini menjadi titik pertumbuhan tamadun.

iii . Anehnya, sejak Mekah ditemui kabilah Bani Ibrahim pada tahun 2000 sebelum Masehi, hinggalah ia dikuasai oleh kaum Quraisy pada circa 580-an Masehi (pasca Perjanjian Hudaibiah) – petempatan ini terus berkembang pesat. Menjadi pusat perdagangan, fokal syiar ilmu dan percambahan teologi. Dalam ertikata lain, lokasi ini menidakkan limitasi semulajadi yang cuba mengongkong. Ia tumbuh membangun dengan cara menentang logik alam fizikal.

Kamu tahu kenapa tamadun Timbuktu silam lenyap? Sesudah ia dimahsyurkan oleh kelebihan faktor sejarah dan tradisi (sama seperti Mekah), Timbuktu gagal untuk terus lestari dalam jangkamasa panjang. Sebab akhirnya ia terpaksa tunduk kepada kuasa deterministik alam sekitar.

Sedangkan Mekah, hingga saat dan ketika ini, telah menjadi kota urban dengan kompleksiti paling mencapah di dunia, melangkau era purba, medieval dan moden. Ini bukan saja pada populasi manusia, yang begitu tinggi diversiti etnik, budaya dan kewarganegaraan. Tetapi juga pada teknologi binaan struktur, yang begitu tegar menakluk orografi fizikal dan iklim yang secara semulajadinya amat sukar.

iv. Dari segi antropologi sosial, kota ini terolah pada dua segmen yang sangat ironik. Tetapi kemudian dipertemukan oleh unsur penyatuan di tengah-tengah. Barangkalikah ini satu petanda bahawa manusia menuju kepada Tuhan yang sama, dengan cara berbeza-beza?

Mari kita teliti dua pembahagian itu dengan Baitul Haram sebagai paksi rujukan relatif.

Segmen Barat (Bangsawan): Berhadapan pintu masuk utama arah barat, terletak Menara Al Safa yang menempatkan jam terbesar di alam semesta. Di sebelahnya adalah kompleks Al Bait Mall, merupakan salah satu gedung membeli-belah yang paling gadang dan mewah di dunia. Pada segmen ini, kita akan melihat manusia berduyun-duyun memuaskan citarasa kapitalisme totok. Mereka kenampakan seperti sekumpulan lebah yang giat mencari nektar di taman puspa.

Segmen Timur (Marhaen): Lima ratus meter dari pintu masuk sebelah timur, sebuah lagi pusat urban menempel pada lantai dan lereng perbukitan yang curam. Di sini tersusun berjajar-jajar bazaar yang aneka, dan pelbagai servis bersifat ‘bajet’. Manusia yang akan kamu temui menepati definisi Marxist untuk komuniti yang dinamakan ‘kelas pekerja’. Sangat daif dan marhaen. Mereka ini kelihatan seperti sekawanan semut sedang menghurung gula yang tumpah.

v. Sesiapa juga yang datang ke Mekah dengan andaian bahawa kota suci ini maksum dari segala godaan, mentaliti itu satu khilaf yang kronik. Mungkin lebih tepat, satu falasi minda. Di kota ini, kita boleh melihat dengan mata fizikal sendiri betapa nipisnya sempadan: antara nafsu dan iman; mazmumah dan mahmudah. Setipis kulit bawang.

Bayangkan. Titik di mana kamu berdiri: terseragam megah sebuah citra metrapolis untuk memanjakan hawa nafsu pada markat tertinggi. Ironinya, hanya lebihkurang 300 meter di hadapan, pegun berdiri Ka’abah yang menjadi tempat pengabdian jiwaraga paling ikonik.

Begitulah uniknya kota megapolitan yang mempunyai sejarah merentas 4000 tahun ini. Betapa pun berbeza dua segmen penjuru timur dan barat Baitul Haram, dua komuniti ini akan berbaur tanpa polarisasi. Bila memasuki rumah Allah, serta berarak dengan langkah tawaf yang senada dan searah.

Menyaksikan bauran dua fragmen ini, barangkali merupakan satu pengalaman terindah di Mekah. Dari segi kepuasan spiritual dan sosialisasi. Betapa ada ketika: semua jurang yang dicipta manusia, akan roboh akhirnya. Tanpa perlu sesiapa merobohnya. Ia runtuh dengan sendiri di bawah naungan kudus serambi Ka'abah.

vi. Pada saya, perjalanan ke Mekah bukan sekadar satu kembara rohani. Ia juga satu eksplorasi ilmu. Selain kota suci ini dipenuhi inspirasi kudus; ia turut menawarkan sains kemasyarakatan dan kemanusiaan yang sangat mencerahkan.

Bila berkesempatan datang ke sini, buka segala pancaderia. Bukan sekadar mata dan telinga. Jangan juga hanya membuka pintu jiwa dan hati. Bukalah juga deria fikir dan intelek. Agar kelak dapat menitip manfaat seluruhnya: rohani dan lahiriah.

Kerana sesungguhnya: kombinasi kedua-dua ini boleh menjadikan kita seorang abdi yang lebih patuh.

vii. Terima kasih di atas doa, pesan dan dorongan: semua sanak famili dan sahabat taulan. Kerana ingatan-ingatan itu membantu menjadikan perjalanan saya lebih bermakna.

Kalau saya pergi Mekah,
Kubeli tuan sebuah kendi;
Ketika kita terlupa arah,
Biarlah tuhan jadi kemudi.




Notakaki:

Mekah dan perdagangan memang tidak boleh dipisahkan. Sejak dulu lagi, Mekah selain jadi simbol rohani - ia juga jadi titik pertemuan terpenting peniaga dari wilayah barat dan timur semenanjung Tanah Arab. Sekarang ini Mekah mempertemukan Timur (India, China etc) dan Barat (Eropah, Amerika) dalam konteks lebih global. Sesuai dengan perkembangan zaman, mungkin?


This piece was written more than a year ago (April 2012), during my second visit to Makkah - and spent few days exploring it. 

Segregasi segmen barat-timur (yang juga menyaksikan polarisasi bourgeois-proletariat) semakin kabur dan tidak ti
dak relevan. Akibat daripada proses urbanisasi ala kapitalisme yang sedang rancak beroperasi di kota ini. 

But a new sociocultural landscape will definitely emerge from this - and I'm sure it can be as interesting as the one I had experienced a year ago. Status quo is irrelevant in this fast-growing city. That is why, each time we visit this place: it is a new spiritual journey of its own. Because Makkah always offers something different.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...