1. Sebelum ada yang sentap, biar saya tegaskan. Saya menyokong penuh gerakan sivil bernadi rakyat. Yang bertujuan ‘menyentak’ pemerintah supaya sentiasa perbaiki prestasi – ke arah yang lebih bersih, cekap dan amanah. Ini satu mekanisme penting bagi negara matang demokrasi, demi mengukuhkan sistem tadbirurus yang lebih efektif.
Tapi gerakan tersebut mestilah benar-benar bersifat SIVIL – iaitu memenuhi dua kriteria asas. Pertama, ia tidak membelakangkan peraturan dan perundangan, yang juga dijamin kedudukannya dalam perlembagaan. Kedua, ia mesti suara rakyat sepenuhnya; bukan emosi politik kepartian. Sebab domain yang diguna untuk beraktiviti adalah milik publik. Jadi agenda yang diperjuang mesti bebas dari sebarang unsur partisan. Kita belum lagi masuk musim pilihanraya, kan?
Tentu tidak adil sumber negara (e.g. tenaga keselamatan, infrastruktur awam, alat perlindungan, elaun petugas, etc) dipakai untuk mengurus sebuah perhimpunan terbuka, JIKA matlamat terasnya cuma mahu menobatkan agenda politik parti tertentu. Tapi kalau BERSIH ini memang BENAR-BENAR gerakan sivil: dari rakyat untuk negara – fine. Ok! Silalah membersihkan negara…
2. Berhimpun secara aman adalah hak yang dilindungi perlembagaan. So, yang bising-bising itu kenapa? Begitu para pendemo tegar menempik.
Ya, betul. Tapi selain ada perlembagaan, kita juga ada undang-undang dan peraturan. Sebarang perhimpunan di domain publik perlukan keizinan pihak autoriti. Kita tidak boleh sesuka hati mengisi mana-mana ruang awam dengan magnitud gadang (ribuan orang) tanpa merujuk pada ‘authoritative guardian’ lokasi tersebut. Kenapa? Sebab pertama; kita ini manusia, bukan binatang. Kita tidak boleh berkerumun dan berkoloni di mana-mana tanpa peduli sesiapa, sesuka nafsu macam anjing laut di pantai terpencil.
Sebab kedua; ‘ruang awam’ itu sebagaimana namanya – adalah hak kolektif komuniti awam seluruhnya. Maka ada autoriti tertentu yang dimandatkan untuk menyelaras bagaimana ruang tersebut diguna agar tidak berlaku percanggahan kepentingan. Maksudnya, faedah semua pihak terjaga pada aras kompromi yang optimum. Kalau tak reti patuh pada ketetapan pihak yang diberi mandat, sila berdoa supaya jadi biawak. Kalau tak suka reptilia, mintalah jadi angsa. So obligasi untuk mematuhi peraturan dan undang-undang manusia akan terlucut dengan sendiri.
3. Hanya kerana hak itu ada dalam perlembagaan, bukan bermakna ia boleh diguna sewenang-wenang tanpa memenuhi apa-apa pra-syarat lain. Misalnya, perlembagaan memang menjamin hak kamu untuk menternak kambing secara aman. Tetapi kamu tidak boleh menternaknya di padang sekolah, melainkan guru besar ada bagi kebenaran bertulis. Perlembagaan juga menjamin hak kamu untuk masak dodol secara aman. Tapi kamu jangan sekali-kali datang mendodol di gazebo 1Borneo. Nanti pengunjung lain boleh balun kamu sampai pitam. Kecuali memang telah diberi izin oleh pihak pengurusan kompleks. Nampak tidak, bagaimana SEPATUTNYA manusia mengoperasikan hak perlembagaan dalam sebuah negara bertamadun?
Jaminan hak oleh perlembagaan adalah syarat yang dimiliki oleh semua individu. Manakala keizinan undang-undang dan peraturan dari pihak autoriti yang bermandat – ini pra-syarat yang WAJIB diperolehi pada setiap konteks spesifik. Soalan saya: kenapa degil tidak mau berhimpun di stadium, pilihan yang diberi oleh autoriti? Mesej himpunan tetap akan sampai kepada kerajaan, kan? Lagipun, lebih mudah memantau kehadiran ‘penghasut’ dan ‘pengacau’ – yang selalu dijadikan alasan bela-diri bila ada anarkis mendajal masa demonstrasi. Atau memang sengaja gatal berdemo di jalanan, supaya dapat publisiti mencanak-canak bila ada kekacauan? Ini sikap yang sangat azwanali. Hard-core attention seeker.
INGAT: perlembagaan Malaysia kata – “hak kamu untuk berhimpun secara aman dijamin”. Period. Fullstop. BUKAN perlembagaan itu kata – “hak kamu untuk berhimpun secara aman di mana-mana jua lokasi mukabumi Malaysia ikut suka-hati-cik-bedah dijamin”. TIDAK. Jaminan perlembagaan bukan sebangang begitu.
4. BERSIH bukanlah gerakan yang membawa agenda politik dan sentimen anti-kerajaan. BERSIH sesungguhnya adalah gerakan sivil yang diterajui oleh NGO-NGO non-partisan. Betulkah?
Terdapat perbezaan antara teori dan amalan. Bagi mengukur nilai tepat sesuatu entiti – kita mesti melihat pada operasi di lapangan, bukan apa yang dituliskan atas kertas. Ya, memang betul – secara dokumentasi, penganjur BERSIH adalah NGO non-partisan. Tapi bagaimana pula gerak-kerja dan promosi BERSIH berjalan di dunia sebenar?
#BebasAnwar #NajibTurun – apa kaitan ini dengan gerakan sivil (e.g. tuntutan pilihanraya yang lebih bersih)? Mungkin ada yang gigih berhujah untuk buktikan perkaitan. Bila Anwar bebas, Malaysia secara automatik jadi daulah yang sifar masalah. Bila Najib turun, sistem elektoral negara serta-merta jadi sesuci salju di pergunungan Fujiyama. Begitu korelasinya, boleh? Ok, saya 'terima' sajalah untuk senangkan hati korang.
Tapi persoalan saya seterusnya: kenapa yang sibuk meniup semboyan dan keluarkan press release tentang BERSIH, ramai juga dari tokoh-tokoh pembangkang kontemporari? Yang sedang memegang jawatan dalam parti. Bahkan, ada info spesifik BERSIH yang terang-terangan dikeluarkan rasmi atas jenama dan logo parti-parti pembangkang. Kenapa?
Yang jelas kita nampak, ia seperti satu kolaborasi intim yang disengajakan. Bila parti politik ambil peranan jadi jurucakap BERSIH – penganjur hanya diam merelakan. Dulu Ambiga ada juga tegur sekali dua, masa era BERSIH 1 dan 2. Tapi BERSIH 3 dan 4 yang terbaru ini, kedua-dua NGO dan parti pembangkang seperti sama-sama pasrah sedondon, saling tunggang menunggangi. Bila tokoh-tokoh politik berdendang dengan lagu #BebasAnwar – penganjur membisu seribu bahasa. Mungkin terkinja-kinja girang dalam hati. Sebab dapat publisiti percuma untuk memancing lebih ramai penyertaan. Soalnya: mereka berhimpun untuk gerakan sivil atau berarak untuk agenda politik kepartian?
5. Semua parti politik di Malaysia (sama ada pembangkang atau kerajaan) ada taiknya sendiri, yang berjuritan di serata tempat. Mungkin kau terpalit taik kerajaan, sebab itu kau marah kerajaan. Tapi ada yang terpalit taik pembangkang, dan mereka juga ada kemarahan tersendiri.
Masihkah ingat? Masa pemilihan pimpinan PKR (iaitu parti dominan dan tulang belakang Pakatan Rakyat) dalam dua penggal berturut-turut – ada dilapor skandal penipuan. Ini bukan macai BN yang kata. Tapi orang-orang kuat PKR sendiri yang dedahkan. Juga bukan sekadar gosip liar di angin lalu. Siap dibuat bantahan rasmi dan pengumuman secara terbuka! Tidak percaya, tanyalah Cikgu Bard dan Datuk Zaid Ibrahim.
Owh, itu hanya undi pemilihan parti. Apalah sangat. Hey! Itu menelanjangkan fitrah rakus yang tersembunyi. Kalau mereka dan kroni dapat akses pemerintahan federal – bayangkan bagaimana nanti pilihanraya nasional dijungkir-balik semata-mata untuk kekal berkuasa. Sedangkan pemilihan parti yang menawarkan jawatan hanya seciput pun sanggup makan dan meratah kawan-kawan sendiri. Untuk pilihanraya nasional yang menjanjikan kuasa lebih lumayan – tentu sanggup membunuh lawan, sambil kencingkan rakyat sampai lebam. Kan?
6. Konon gerakan sivil – demi negara. Tapi kenapa biarkan diri diliwat oleh parti politik? Bersekongkol dengan Pakatan Rakyat – bermakna pihak penganjur dengan megah mengiktiraf bahawa parti-parti politik pembangkang itu SUDAH BERSIH. Yang kotor dan perlu dibersihkan HANYALAH parti-parti politik yang ketika ini menguasai kerajaan federal. Dalam ertikata lain – yang diperjuang oleh BERSIH bukannya isu, tapi sebenarnya cuma mendendang survival politik sebuah parti tertentu.
Jadi, di mana sivilnya gerakan ini kalau agenda masih berpihak pada burjuis kuasa dan bukan berpaksi tuntas pada suara rakyat yang tertindas?
Notakaki:
Anda boleh baca komen2 balas di link yang berikut:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10207472992244236&set=a.1210759470403.31785.1271220569&type=1
Matang dan padu!
ReplyDelete