dan sehelai daun kenangan
(al-fatihah buat sahabat penyair, Rahimidin Zahari)
i. sedetik ingatan – biar tersimpan dalam diam
riaknya tegar melawan tujuh gelombang lautan
bisikan doa – ada ketika terlalu jauh
tapi getarnya tetap mengalir dibawa angin
seluruh niat yang diaminkan
dekat nan bergema, jauh nan tersembunyi
nescaya akan sampai
kepada Dia yang selalu mendengar
ii. kepada Dia juga akhirnya
manusia kembali menjadi sekepal tanah
dan di bawah bayang beringin nan rimbun
kita yang masih hidup diizinkan memetik
sehelai daun kenangan dibawa pulang
meski di pusara, rindu tak mesti dikuburkan
kerana pemergian sahabat ke alam abadi
tidak mematikan cinta yang pernah ada
sabandar
14 mei 2015
1. Saya pertama kali bertemu dengan Rahimidin pada 1996 di Universiti Malaya, ketika beliau mengambil Diploma Pengurusan Seni. Saya masa itu jadi felo di Kolej Kediaman Za’ba dan membantu beliau mendapat penginapan di asrama. Saya dihadiahkan buku Sekepal Tanah sebagai tanda persahabatan. Meski pun saya belum terjebak dalam dunia penulisan kreatif.
2. Selepas kelahiran buku kumpulan puisi pertama (Alien Mencari Cinta, 2012): saya mula menyelit dalam circle sastera, dan lebih kerap bertemu beliau. Saya dihadiahkan buku Bayang Beringin dalam satu majlis di Rumah Pena sekitar tahun 2013. Kemudian semasa majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan ITBM/PENA/BH 2015 sebulan dulu, kami bertukar-tukar buku kumpulan puisi masing-masing.
3. Kami duduk sebelah menyebelah semasa majlis, sebab saya terlebih gigih mengaturnya begitu. Mahu diapit oleh dua penyair tersohor Kelantan: Rahimidin dan Rosli K. Matari. Dengan nada berseloroh (tapi sebenarnya agak serius!) saya berbisik pada beliau: saya mau berhenti menulis puisi sebab jiwa saya lebih kepada buku-buku prosa bercitra indie. Hei, jangan! Itu ayat reaksi pertama beliau.
4. Hari ini saya buat refleksi. Mencari simbol dan enigma yang tersembunyi. Barangkali ‘jangan itu’ membawa pesan dan peringatan terpendam. Buku ‘Sekepal Tanah’ (menerusi pertemuan pertama, tanpa kenal pun di mana letak-duduk minat saya dalam sastera) – seperti satu signal bahawa beliau telah lama dapat menghidu kepenyairan saya. Enambelas tahun sebelum saya sendiri percaya saya boleh menulis puisi.
5. Sahabat, damailah engkau di sana. Al-Fatihah. Saya di sini, akan terus berusaha menjadi penyair, dengan jati sastera sepertimu. Dan akan cuba untuk tidak menjadi yang lain.
No comments:
Post a Comment