Thursday, December 17, 2015

TAMAN TANPA BUNGA


Taman kau ini tidak ada bunga. Sebab itu kurang berseri. Dia selalu komplen begitu. Inilah bah kalau tidak faham konsep biogeografi dan klimatologi.
Kita bukan boleh tanam sebarang, tanpa menimbang kesesuaian lokaliti. Pokok berbunga biasanya jenis tak lasak. Kurang betah tumbuh di kawasan pantai yang bertanah kasap dan udara selalu garing.
Kalau pergunungan macam Kundasang, yang tanahnya gembur dan bercuaca lembab, lainlah cerita. Atau kalau rajin siram pagi dan petang tiap-tiap hari, mungkin oklah. Saya tiada kegigihan begitu.
Kalaulah ada bunga warna-warni di celah kehijauan pokok, tentu lebih ceria dipandang mata. Kata dia lagi bersungguh-sungguh, degil tak mau hadam penjelasanku yang berasaskan logik geografi.
Tak apa. Taman ini mungkin tidak diserikan dengan warna bunga. Tapi ia dimeriahkan dengan warna kucing. Kau ada? Saya terjah dia, dengan nada separuh riak, separuh sarkastik.
Taman yang hanya ada pokok, daun dan bunga tanpa hidupan yang bergerak dan berlari – sama seperti taman tinggalan perang. Cuma sesuai jadi tempat berkabung sambil mengimbau kenangan pilu; tapi kurang efektif untuk mencari terapi minda. Setuju?
Bah, suka hati kaulah, kata dia. Sikit pun tidak teruja dengan hujah-hujah ilmiahku yang mantap. Hish, dia ini sebenarnya bercakap tentang pokok yang berbunga atau sedang berkias tentang 'bunga' lain? Saya pun mula confused sekarang.
Atau mungkin dia berminat mahu tawarkan diri supaya diambil jadi bunga untuk taman hati yang belum berbunga ini. Begitukah? Terlepas sudah peluang emasku sebab lembab tak reti menilik bahasa simbolik kaum bunga. Cis!

Penulis buku Alien Menchari Chinta, Deja Vu Cinta Pencari Katarsis dan Dari Cinta Kepada Cinta; klik sini: http://www.itbm.com.my/…/kumpulan_puisi_dari_cinta_kepada_…/ dan sini:http://www.itbm.com.my/catalogue/buku/alien_menchari_chinta/



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...