Sunday, July 5, 2015

KENALI TABIAT RIBUT TROPIKA DAN PERBEZAAN THUNDERSTORM (RIBUT PETIR) VS HURRICANE (TAUFAN)



1.  Secara rasmi, Malaysia diisytihar negara Top 5 global dari segi indeks keimanan kepada sains palsu. Masyarakat kita (termasuk yang berpendidikan tinggi), begitu ramai jadi penganut setia pada info karut-marut di alam siber. Internet sudah jadi seolah-olah nabi baru. Semua berita yang dirawi dalam media IT, serta-merta dinaiktaraf jadi wahyu langit yang wajib ditaati dan disebarluaskan.
Apa sebenarnya sudah jadi dengan penduduk Malaysia? Adakah terlalu berlebih-lebihan ketika beronani hingga jiwa jadi bebal abadi; atau terlalu fobia tak bertempat hingga semua perkara dijadikan sumber ketakutan diri dan dimanipulasi sebagai senjata menakut-nakutkan orang lain?

Saya baru sampai di KL semalam. Belum pun sempat menikmati udara kota metropolis yang tepu pencemaran ini; tiba-tiba ketenangan sukma saya terlebih dulu telah dicemari. Tengah-tengah dinihari buta semalam, ada kawan hantar mesej bertanya: ada taufan melanda Sabah ka? Dengan nada cemas melimpah-ruah.


2.  Dia tunjukkan link internet yang mengulas potensi-potensi taufan yang bakal menyerang. Siap dengan grafik yang entah dicopek dari mana. Kebetulan pula memang ada angin kencang melanda beberapa tempat di Sabah dalam sehari dua ini. Tentulah hal seperti itu menambah gundah gulana.

Kadang-kadang saya pelik dengan mentaliti para pengguna internet. Gigih susah payah menggali info dari sumber-sumber tidak rasmi. Tapi website Jabatan Meteorologi Malaysia malas mau ikut. Padahal dalam FB pun ada juga: Malaysian Meteorological Department. Inilah perawi berita cuaca dan iklim paling berautoriti di Malaysia. Kenapa kau masih gatal mencari di tempat-tempat lain? Sebab menjadi manusia bodoh adalah satu trend yang hip masakini dan kau tak mahu ketinggalan tumpang sepiring?

Era globalisasi adalah zaman yang brutal. Ia menghimpit kita dengan sejuta informasi. Ada yang menjunamkan kita ke gaung curam. Ada yang membawa kita ke lubang taik yang dalam. Ada yang memimpin kita ke taman teduhan yang damai. Kita mesti mengajar diri untuk selektif. Berfikir sebelum bertindak. Selagi kita amalkan sikap “sharing is caring” secara simplistik dan semborono; selagi itu kita mengheret diri sendiri dan orang lain kepada kebejatan-kebejatan hidup yang tidak perlu. 


3.  Ada perbezaan yang sangat signfikan di antara ‘ribut petir’ (thunderstorm) dan ‘taufan’ (hurricane). Meski ciri fizikal kedua-duanya hampir sama, iaitu datang membawa angin dan hujan yang mendebus-debus. Yang berlaku di Sabah sekarang adalah ribut petir, BUKAN ribut taufan. Kedua-duanya jenis ribut tropika, tapi mekanisme pembentukan, magnitud dan intensiti kekuatannya adalah berbeza. Mari saya jelaskan bagaimana.

Ribut petir berlaku pada skala ruang yang kecil. Punca tenaga yang menjana fenomena itu bersifat tempatan. Ia terhasil dari olakan udara ke atas (oleh pancaran matahari yang terik), kemudian wujud pertembungan hawa sejuk dan panas. Itu membentuk awan kumulusnimbus yang tebal (cukup untuk hasilkan hujan lebat) serta menjana pergerakan udara yang deras akibat perubahan tekanan. Terlalu teknikal? Tak apa. Yang penting di sini, kamu cuma perlu tahu bahawa ribut petir ini sifatnya lokal. Tenaganya dikaut dalam satu domain yang kecil. Sebab itu intensiti serta tempoh kejadian tidaklah terlalu mencanak dan lama.

Pada waktu-waktu begini (transisi monsun, dari musim basah ke musim kering), ribut petir memang agak common di Borneo. Sebab pada ketika peralihan/transisi ini, gerakan atmosfera skala sinoptik sedang pening-pening lalat. Sekejap tiupan dari utara yang dominan, sekejap tiupan dari selatan lebih kuat. Ketidakstabilan udara ini yang memangkinkan lagi proses pertembungan udara sejuk dan panas tadi. Menyebabkan ribut petir bertambah aktif. Ini adalah kitaran yang lazim setiap tahun. Cuma mungkin kadarnya berbeza-beza.


4.  Taufan pula dicetuskan oleh sumber tenaga dari domain yang lebih besar. Ia bukan bersifat lokal, tetapi melangkau wilayah makro (melibatkan kawasan lebih luas dari sebuah negara!). Angin deras dan hujan lebat yang dibawanya dijana oleh perbezaan tekanan dua sistem besar, pada skala regional. Sebab itu magnitud dan intensitinya juga jauh lebih tinggi. Jadi impaknya lebih kuat, dan boleh berterusan selama berjam-jam. Bahkan sampai berhari-hari.

Sabah dipanggil ‘Negeri di bawah Bayu’ kerana ia terletak jauh ke bawah dari laluan taufan tersebut (Nota: ‘Bayu’ dalam konteks ini dirujuk pada taufan tadi). Kawasan di Asia Tenggara yang berada dalam belitan angin kencang yang membinasa ini adalah gugusan pulau Luzon di Filipina. Ini terletak sekitar 5-10 darjah garis lintang ke utara Sabah. Scientifically speaking, it won’t be able to reach any part of Borneo. But sometimes – in a VERY, VERY rare case – its much weaker tail may get us a bit. Seperti kes ribut Greg dulu. Tapi intensiti tidak seteruk yang dirasa di tempat laluan sebenar, seperti di Filipina utara atau kawasan pesisir pantai Vietnam.

Sekarang ini aktiviti taufan memang dinamik di kawasan laluan di utara Borneo, iaitu sekitar kepulauan Luzon atau di luar pesisir maritimnya. Tetapi setakat ini belum ada bukti empirikal ia akan sampai ke Sabah. Apa yang kita rasa sekarang adalah ribut petir bersifat lokal, satu fenomena yang biasa di kawasan khatulistiwa. Terutama pada musim-musim peralihan monsun seperti sekarang. Ya, kita perlu berhati-hati sebab ribut petir pun bahaya juga. Tapi janganlah fobia lebih-lebih sampai membayangkan impak seperti fenomena taufan Katrina atau Isabel.


5.  Tiap kali saya berkongsi pandangan begini, nanti ramai kaum bengap berduyun-duyun keluar dari gua atau rimba selepas bermastautin di sana bertahun-tahun. Kemudian gigih mencabar: bolehkah kamu bagi jaminan 100% yang ini tidak berlaku?

Kenapa saya perlu bagi gerenti 100%? Jaminan mutlak sedemikian hanya boleh diberi oleh Sang Pencipta. Saya bukan Tuhan, saya hanya saintis. Selaku saintis, tugas saya cuma memberi informasi berdasarkan daya ta'akulan saintifik proses atmosfera di sekitar Asia Tenggara. This universe is full of uncertainty. Of course, anything can happen. But if we try to understand how it behaves, we can at least predict the PROBABILITY for a certain phenomenon to occur. Jadi, berdasarkan ‘konsep kebarangkalian’ ini – maka saya kongsikan pandangan.

Saya tidak kata Sabah TIDAK MUNGKIN akan dilanda taufan. Saya cakap, berdasarkan mekanisme pembentukan ribut tropika dan trend kejadian pada masa lalu – it is very, very unlikely to happen. Dunia ini memang penuh risiko. Tidak ada satu tempat pun yang boleh menjanjikan kita selamat 100%. Kita hantar anak ke sekolah pun – tiada gerenti 100% mereka akan pulang ke rumah semula dengan masih bernyawa. Mungkin saja mereka akan ditangkap lalu dibunuh penculik; atau terkorban dilanggar kereta guru di sekolah. But we make our decision based on the most probable expected outcome. Selagi tidak ada bukti empirikal bahawa wujud risiko yang TINGGI untuk anak kita diculik atau dilanggar mati di kawasan sekolah – selagi itu kita teruskan kehidupan seperti biasa. Bukan begitu ka?


6.  Para penyebar info karut-marut (yang tidak bersandarkan sains empirikal) bila ditegur, selalunya akan berhujah: “Bah, jangan terlalu yakin dengan sains kau itu. Tuhan itu maha kuasa tau. Apa-apa pun boleh jadi. Bagus juga kita beri peringatan awal-awal supaya kita tahu kebesaran Tuhan!”.

Wah, pandai kamu bagi alasan macam sial ya. Terdapat perbezaan di antara: ‘mengambil peringatan untuk meningkatkan keimanan kepada Tuhan’ – dan, ‘mencipta ketakutan untuk menghalang manusia dari menikmati kehidupan’. Kalau betul-betul mau insafi kebesaran Tuhan, tidak perlu tunggu ada ribut taufan dan gempa bumi bah. Semua ciptaan di bumi adalah petunjuk kebesaran Tuhan. Mulut kau yang becok macam murai betina kemaruk mau mengawan – itu tanda betapa bijak Tuhan mencipta anggota tubuh. Yang tidak pernah letih menuturkan ribuan kata setiap hari. Tengok dalam seluar – buah langsat cinonit kau yang tak pernah ranum dan boleh diguna untuk mencipta seorang lagi manusia yang bakal membesar seperti kau sendiri: bukankah itu juga lebih dari cukup untuk meyakini kebesaran Tuhan?

Ketakutan-ketakutan tak berasas yang timbul kerana informasi gampang: kamu ingat akan hilang begitu saja macam embun pagi? Tidak memberi sebarang kerugian dalam bentuk material? Orang yang tidak aman jiwa dan selalu dilanda ketakutan – akan lebih mudah diserang penyakit dan kurang produktif dalam urusan kerja. Bermakna negara akan kehilangan sumber dalam bentuk bil-bil rawatan kesihatan dan penurunan produktiviti. Nampak tidak di sini: apa korelasi antara pendustaan kamu dan pembaziran kapital negara?


7.  Kamu tahu macam mana saya berjaya jadi seorang klimatologis atau ahli kaji iklim? Saya buat PhD selama 4 tahun di pusat kajian iklim terbaik dunia di England, dengan menggunakan dana sejumlah lebih suku juta RM dari cukai yang kamu semua bayar kepada kerajaan.

Sekarang saya mau pulangkan hak kamu dengan berkongsi ilmu yang saya telah belajar bertahun-tahun itu. Moga-moga ia dapat membantu sedikit-sebanyak mengolah kehidupan yang lebih tenang, tanpa diasak kebimbangan-kebimbangan yang tidak munasabah. Sebab ketenangan jiwa – harganya tidak ternilai. Duit juta-juta pun belum tentu dapat beli!

Kalau tidak mau peduli dengan penjelasan saya, suka hati kamu. Tapi sia-sialah duit cukai yang dilabur untuk melatih saintis-saintis bertauliah negara. Kalau akhirnya para pembayar cukai itu lebih percayakan teori sains para halimunan internet yang tidak diketahui sumber ilmunya.


— watching mendung suram di Kuala Lumpur. in Kuala Lumpur, Malaysia.




1 comment:

  1. betul tu tuan, saya setuju dengan penjelasan tuan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...